ALOR GAJAH: Dua beradik nyaris maut apabila sebatang pokok kekabu berusia hampir 30 tahun tumbang menghempap rumah mereka di Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara, dekat sini, dalam satu kejadian angin ribut, awal pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu, Mashitah Shamsudin, 21, sedang tidur di ruang tamu hadapan rumah bersama adik lelakinya, Mohd Rahimi Shamsudin, 13, sementara kakaknya tidur di dalam sebuah bilik berdekatan.
Menurut Mashitah, dia bersyukur kerana mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian mengejutkan itu.
“Saya terus terjaga dan menjerit ketakutan sambil menarik adik yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri apabila terdengar dentuman kuat pokok kekabu itu tumbang menghempap bahagian beranda depan hingga cermin pecah.
“Kami tidak pula dengar bunyi rekahan pokok itu atau bunyi aneh lain disebabkan hujan lebat. Saya kejut adik yang memang tersentak dengan bunyi dentuman itu dan menarik dia dalam keadaan mengantuk ke arah belakang rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut ibunya, Jamilah Ibrahim, 47, ketika kejadian, dia dan suaminya, Shamsuddin Abdullah, 53, sudah berjaga untuk menunaikan solat di masjid berdekatan dan berdiri di pintu tepi rumah disebabkan hujan yang turun lebat sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat.
“Saya dan suami sudah terjaga sejak jam 5 pagi lagi dan sedang bersiap-siap untuk ke masjid tetapi disebabkan hujan lebat, kami masih menunggu di pintu rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi berdentum pokok kekabu tumbang menghempap rumah.
“Saya terus masuk melihat anak kedua dan bongsu yang tidur di ruang tamu kerana bimbang mereka menjadi mangsa. Saya dapati Mashitah sudah menjerit dan menyuruh adiknya berlari ke tempat selamat kerana bimbang terkena ranting yang menjulur masuk,” katanya.
Katanya, suaminya terus bergegas keluar dari rumah melihat pokok kekabu yang selama ini memberikan hasil untuk dibuat kekabu bantal sudah tumbang.
“Nasib baik ia patah di bahagian atas dan tidak tumbang lurus menghempap rumah. Saya rasa seperti satu kejadian luar biasa apabila sebahagian pokok itu patah di bahagian atas dan dinding papan itu kuat untuk menahan dari terus tumbang melurus menghempap sebahagian lagi rumah, jika tidak pasti anak-anak saya menjadi mangsa.
“Sebenarnya, saya dan suami serta anak sulung baru saja pulang dari Kuala Lumpur sementara anak kedua sedang menuntut di Politeknik Merlimau dan yang bongsu masih bersekolah di Sekolah Menengah Agama Darul Falah.
“Rumah ini ibarat persinggahan mingguan untuk kami sekeluarga kerana saya bekerja sebagai guru di Kuala Lumpur, begitu juga suami dan anak sulung yang bekerja di sana, cuma anak kedua dan bongsu berada di sini dan tinggal di asrama,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Sementara itu, empat anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Masjid Tanah dengan satu jentera tiba untuk membantu memotong pokok kekabu yang tumbang itu dengan dibantu beberapa pekerja South Waste Malaysian (SWM).
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~