Protes lagi jika bebaskan Thaksin

Dunia
















Baju Kuning beri amaran kepada kerajaan pimpinan adik bekas PM

BANGKOK: Pembangkang Thailand memberi amaran akan melancarkan bantahan di jalan raya jika kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra terus cuba mendapatkan pengampunan untuk abangnya, Thaksin, bagi membolehkan bekas Perdana Menteri yang disingkirkan itu bebas dan pulang ke tanah air.




Kerajaan enggan mengesahkan ada sebarang rancangan seumpama itu dan Thaksin sendiri tidak memberi reaksi kepada usaha itu dari kediamannya di Dubai, tempat tinggal beliau yang memilih tidak pulang bagi menjalani hukuman dua tahun penjara kerana salah guna kuasa.





Thaksin disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006. Beliau kekal tokoh utama dalam krisis politik enam tahun di Thailand. Beliau dipuji golongan miskin di bandar dan pedalaman tetapi dimusuhi rakyat kelas pertengahan dan golongan diraja.

Pakatan Demokrasi Rakyat (PAD), penyokong ‘Baju Kuning’ yang melemahkan kerajaan Thaksin dengan perhimpunan jalanan besar-besaran sebelum rampasan kuasa tentera, berkata pengampunan itu akan menjadikan Thaksin sebagai ‘orang bebas.’

“Kami akan adakan perhimpunan jika pengampunan diberi kepada Thaksin,” kata jurucakap PAD, Panthep Pongpuapan. PAD akan mengadakan pertemuan lewat minggu depan untuk memutuskan tindakan seterusnya.

“Thaksin mesti dihukum,” katanya.





Menurut media Thailand, jemaah menteri membincangkan isu pengampunan itu.

Cadangan Kabinet itu akan dikemukakan kepada Raja Bhumibol Adulyadej, dan dijangka diluluskan bagi mendapatkan pengampunan diraja pada sambutan hari jadinya 5 Disember depan membabitkan banduan berusia 60 tahun ke atas yang tidak sampai tiga tahun lagi untuk menghabiskan hukuman.

Thaksin, 62, disabitkan bersalah menyalahguna kuasa pada 2008 dan lari sebelum hukuman penjara dua tahun itu dijatuhkan.

Akhbar Bangkok Post melaporkan, deraf pengampunan kali ini mengecualikan rasuah.

Perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet, Selasa lalu, lapor media, tetapi tidak menyebut mengenainya dalam kenyataan rasmi. Pegawai diminta meninggalkan mesyuarat ketika isu pengampunan dibincangkan menteri, menurut laporan.

“Selain pertemuan rahsia yang membolehkan Kabinet meluluskan perintah kuasa pengampunan, masa juga dilihat amat tidak sesuai, pentadbiran cuba mendapatkan kuasa membantu Thaksin ketika orang lain sibuk berdepan kesengsaraan disebabkan krisis banjir,” kata sumber itu. – Reuters









~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~