Pesaka diberi kata dua
Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my
IBARAT menanti buah yang tidak gugur, sebuah syarikat, Harian Inovatif Sdn. Bhd. (HISB) akhirnya memberi kata dua kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM1.2 juta sebelum 30 Jun ini atau harta serta akaun pertubuhan itu dibekukan.
Tuntutan tersebut dibuat ekoran pertubuhan itu gagal membayar semula kos untuk menganjurkan Kejuaraan Silat Sedunia ke-13 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, Pahang pada 21 hingga 27 Oktober 2007.
Pengarah Urusan Kumpulan HISB, Mohd. Fairuz Mohd. Yusof berkata, pelbagai usaha telah dilakukan sejak empat tahun lalu, namun pihaknya tidak dapat bersabar lagi dan mahu wang mereka dikembalikan.
"Kita telah gunakan pendekatan yang paling lembut termasuk menstruktur semula pembayaran yang paling rendah iaitu RM200,000 setahun, tetapi masih tiada sebarang jawapan daripada pihak Pesaka.
"Kalau boleh kami tidak mahu mengambil sebarang tindakan dan mahu berbincang dengan baik tetapi malangnya segala usaha untuk mengadakan pertemuan gagal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai tuntutan tersebut di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan HISB, Raja Norasmah Lela dan peguam, Ramesh Kanapathy.
Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan tentang masalah tersebut pada Disember 2009 apabila HISB gagal mendapat sebarang bayaran setelah kejohanan dwitahunan itu dianjurkan bersama Pesaka dan kerajaan negeri Pahang bagi meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Sejak itu, semua pihak yang terlibat dengan perkara itu didakwa membisu dan lepas tangan sehingga menyebabkan HISB terpaksa memfailkan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pihak mahkamah telah mengeluarkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Pesaka dan menyebabkan persatuan itu perlu membayar sebanyak RM1,127,442.98 berserta faedah 18 peratus setahun.
"Selepas sekian lama kami masih lagi memberi peluang demi peluang dan masih lagi mengharapkan pihak Pesaka untuk datang berbincang dengan kami," ujar beliau.
Sementara itu, Ramesh menjelaskan, ekoran penghakiman yang telah dikeluarkan itu, pihak HISB boleh mengambil tindakan terhadap Pesaka.
"HISB boleh mengambil apa sahaja tindakan sama ada bekukan akaun atau sita harta pertubuhan itu bagi mendapatkan semula hutang mereka. Bergantung kepada HISB apa bentuk tindakan yang bakal diambil," katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~