UPM masih sukar dicabar lawan
Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my
UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) mengekalkan kehebatannya pada hari kedua acara olahraga Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum) 2011 semalam dengan menambah sepuluh lagi pingat emas.
Selain tambahan sepuluh emas, UPM turut merangkul tiga perak dan satu pingat gangsa. Kelmarin, UPM berjaya memperoleh lima emas, tiga perak dan dua gangsa.
Bagaimanapun, dua pencabar terdekat UPM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) masih bersemangat mengejar kontinjen tuan rumah itu biarpun menyedari peluang mereka tampak tipis.
“Sudah tidak dinafikan, kebanyakan atlet kebangsaan adalah dari UPM dan itu memang menyukarkan atlet dari universiti yang lain.
“Kalau dilihat dari segi kutipan pingat agak jauh, tetapi jika dilihat saingan memang sengit. Lihat saja dalam kebanyakan acara, apabila UPM juara, UiTM menjadi naib juara,” kata pengurus yang juga jurulatih olahraga UiTM, Zahid Amin.
Zahid berkata, dia berbangga dengan pencapaian atlet-atletnya kerana hampir kesemua mereka mendapat latihan di universiti tersebut tanpa latihan luar.
“UPM sudah mempunyai atlet terbaik, manakala UiTM pula mempunyai atlet-atlet yang dikesan mempunyai bakat dan sedang berusaha untuk meningkatkan kebolehan mereka,” kata Zahid.
Zahid menambah, cabaran utama pada Sukan Masum tahun ini ialah kerana ia dianjurkan secara karnival dan kebanyakan atlet UiTM tidak dapat memberi tumpuan dalam acara yang berbeza kerana ia dijalankan serentak.
“Sebelum ini, Masum dianjurkan secara sirkit, jadi atlet-atlet kami boleh mewakili acara olahraga dan juga acara lain yang mereka berbakat seperti boling dan lain-lain.
“Penganjuran secara karnival pada tahun ini sedikit sebanyak menjejaskan kutipan pingat bagi UiTM,” katanya.
Selepas hari kedua acara olahraga berlangsung, UiTM memperoleh 14 pingat secara keseluruhan dengan pungutan tiga emas, empat perak dan tujuh gangsa.
Sementara itu, pengurus olahraga UM, Nor Azizan Mohd. Zawawi agak kecewa kerana harapan untuk memperoleh satu emas menerusi Mohd. Tarmizi Aziz dalam acara 10,000 meter jalan kaki lelaki musnah.
“Selain itu, atlet kebangsaan yang mewakili UM, Ahmad Zabidi Ghazali juga tidak dapat menyertai Sukan Masum kali ini kerana berada di Bulgaria,” ujarnya.
Setakat ini, UM memperoleh tiga emas, lima perak dan satu gangsa untuk menduduki tangga kedua di belakang UPM, manakala UiTM di tangga ketiga.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~