Zul Komando diburu

IPOH: Seorang penipu dikenali Zul Komando kini diburu pihak berkuasa selepas dikesan mendalangi sindiket penipuan berprofil tinggi yang menawarkan tanah kerajaan untuk disewa.



Suspek berasal dari Teluk Intan, Perak dibantu empat lelaki lain dalam kes pencerobohan tanah seluas 400 hektar di Sungai Tumboh, Bandar Universiti, Seri Iskandar, di sini.


Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berkata, sindiket itu licik memalsukan lesen pendudukan sementara (TOL) sebelum memajakkannya kepada 338 pengusaha dari luar Seri Iskandar dengan kadar sewaan RM135,000 bagi tiga tahun. “Untuk mengaburi mata kerajaan, sindiket ini menggunakan nama peserta yang didakwa orang tempatan bagi menyokong permohonan mendapatkan tanah. Kes ini sedang disiasat sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya. Menurut, Zulkifli dan kumpulannya pernah mengemukakan permohonan tanah kepada Pejabat Tanah Seri Iskandar pada September 2010 tetapi ditolak Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JPTD) pada Februari lalu.






“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tanah itu sudah pun diceroboh sebelum permohonan dibuat. Pencerobohan itu tetap diteruskan walaupun menyedari permohonan itu ditolak.


“Sebelum itu, sindiket itu bertindak membersihkan hutan dan mengeluarkan hasil balak bernilai jutaan ringgit tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.


Syed Mokhtar berkata, pencerobohan tanah haram milik kerajaan itu adalah yang terbesar dikesan di negeri Perak setakat ini dan melanggar peruntukan Seksyen 468 Kanun Keseksaan.







Pada Khamis lalu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri melaksanakan operasi bersepadu dianggotai 350 penguatkuasa pelbagai agensi termasuk RELA, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Pejabat Tanah Seri Iskandar.


Dalam operasi itu, pihak berkuasa memusnahkan 52 hektar kebun pisang dan 112 hektar kebun sayur sebagai usaha memutihkan kawasan itu daripada aktiviti penerokaan tanah haram.





Turut dimusnahkan ialah lima rumah kongsi yang didiami lebih 50 pekerja asing tanpa izin warga Indonesia.


Katanya, operasi pemutihan itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

~ 1 comments: ~

wakaka
at: July 13, 2011 at 1:48 AM said...

apa lah perak ni...x abih2 isu tanah. susah bebeno ke nk dpt tanah perak ni...smpi kena perang ngan kerajaan...apo lah. kat kelantan sonang yo dapat tanah kat melayu...bangsa lain sori la...diperhatikan perak kini, byk tanah rizab melayu abih kek bangso lain...apo pun x bleh...agaknya zul x bg asyuuk kot cam bangsa lain wat..."melayu leka, tanah tergadai"...mb...wakaka

~ Post a Comment ~