KULIM: Kelicikan dua remaja 17 tahun mencuri sebuah motosikal di sebuah pasar raya di sini, awal pagi kelmarin, hanya bertahan kira-kira 10 minit sebelum mereka ditahan polis.
Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata polis yang menerima maklumat kehilangan motosikal kemudian meronda sekitar tempat kejadian.
Katanya, enam anggota polis yang terbabit dalam pemeriksaan itu nampak sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori mereka.
"Menyedari diekori polis, suspek melarikan diri ke Taman Perak Indah dan selepas berjaya dikepung, suspek meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri.
"Anggota polis kemudian mengejar suspek sebelum menemui salah seorang daripada mereka menyorok di bawah sebuah kereta dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar pendek," katanya.
Menurutnya, polis berjaya menahan rakan suspek tidak jauh dari tempat kejadian dan kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~