GLC tumpuan ramai

KUALA LUMPUR: Orang ramai, terutama lepasan universiti berduyun-duyun mengunjungi Hari Terbuka GLC yang masuk hari kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.



Tinjauan Harian Metro mendapati sesetengah pengunjung membawa anak mereka melawat gerai pameran manakala graduan mengambil kesempatan mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat yang mengambil bahagian.


Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ferdaus Zakariah, 23, berkata dia mengambil peluang hari terbuka itu untuk mencari pekerjaan dan berharap diterima satu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).






“Boleh dikatakan hampir semua gerai pameran saya kunjungi dan mengisi borang permohonan pekerjaan.


“Memandangkan saya baru habis belajar, peluang sebegini adalah ditunggu- tunggu,” katany.


Rakannya, Nurmila Alang, 23, berkata dia tiba kira-kira jam 10 pagi dan tidak menyangka begitu ramai mengunjungi hari terbuka itu.







“Saya terpaksa bersaing dengan pencari kerja lain dan berebut mengisi borang pekerjaan. Penat memang penat, apatah lagi kawasan ini agak luas, tetapi saya seronok kerana ramai orang,” katanya.


Pengunjung, Che Kamaruddin Che Musa, 51, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa keluarga melawat hari terbuka itu kerana menyedari pelbagai manfaat khususnya dalam mendidik orang ramai mengenai GLC dalam pembangunan negara dan manfaatnya kepada rakyat.





“Saya tertarik selepas melihat iklan mengenai hari terbuka ini sebelum membuat keputusan berkunjung bersama keluarga.


“Di sini banyak ilmu baru saya dan keluarga terima. Selain itu, saya dan keluarga berpeluang menyertai pelbagai sesi perkongsian ilmu dan forum awam,” katanya yang tinggal di Seksyen 24, Shah Alam.


Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan semalam saja, lebih 500 pengunjung membuka akaun dengan Tabung Haji. “Buat julung kali juga kita membawa tirai dari Makam Rasulullah yang berusia 107 tahun untuk tatapan pengunjung. Justeru, saya minta orang ramai yang berminat untuk melihatnya bolehlah datang ke gerai pameran kami.


“Kami turut menyediakan pelbagai acara, termasuk simulasi mengerjakan haji kepada pengunjung,” katanya.


Pengurus Jabatan Pengurusan Proses dan Operasi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Fazelina Kamaluddin berkata, kakitangannya tidak menang tangan melayan orang ramai yang berkunjung ke gerai pameran, khususnya untuk membuat semakan penamaan.


“Kami membuka lima kaunter dengan 10 kakitangan bekerja mengikut syif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung,” katanya.


Hari terbuka semalam turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat lima gerai pameran Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan 18 GLC. Dengan tema Membina Negara, Memupuk Insan, acara yang julung kali dianjurkan itu berlangsung kelmarin hingga hari ini.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~