KUALA LUMPUR: “Jangan cabar kami (pihak berkuasa).” Itu amaran Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos.
Beliau memberi kata dua itu kepada individu atau kumpulan yang cuba menggodam laman web rasmi Perdana Menteri esok iaitu www.pmo.gov.my melalui Youtube, Isnin lalu.
“Jika fikir mereka bijak dalam teknologi maklumat (IT), ada orang lebih bijak dan boleh jejaki anda... lebih baik gunakan kebijaksanaan itu untuk sesuatu berfaedah dan jangan jadikannya satu musibah,” katanya.
Menurutnya, perbuatan cuba menggodam laman web rasmi Perdana Menteri adalah sia-sia berikutan tindakan mereka itu jelas sekali bertentangan dengan undang-undang negara.
Jika didapati bersalah, penggodam boleh didakwa mengikut seksyen 3,4,5,6, Akta Jenayah Komersial 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut kesalahan yang dilakukan.
“Mereka juga akan menyusahkan orang ramai, terutama bagi mereka yang hendak melayari www.pmo.gov.my. Jangan nafikan hak orang lain untuk menggunakan perkhidmatan web berkenaan. “Mungkin, mereka tidak sedar dan kurang tahu kesalahan yang mereka lakukan itu cukup berat. Jadi, saya nasihatkan janganlah cuba melakukan perkara yang menyusahkan diri sendiri,” katanya. Sebelum ini, kumpulan penggodam, ‘Anonymous’ yang bertanggungjawab menggodam dan menjejaskan laman web kerajaan pada 16 Jun lalu melaungkan amaran kedua untuk melakukan serangan siber kepada laman web Perdana Menteri. Berdasarkan maklumat yang diperoleh wartawan Metro Ahad, kumpulan penggodam yang mendakwa mereka sebahagian daripada kumpulan `Anonymous’ dikenal pasti menggunakan identiti, j3dlh40r ketika memuat turun amaran itu dalam rakaman video di Youtube. ‘Anonymous’ adalah sebuah kumpulan yang berpangkalan di luar negara dan pernah dikaitkan dengan pencerobohan laman web Mastercard, Paypal dan laman web beberapa kerajaan di seluruh dunia tahun lalu. Metro Ahad difahamkan serangan penggodam yang dilakukan terhadap laman web kerajaan baru-baru ini mungkin tidak ada kaitan dengan kumpulan terbabit.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh pihak berkuasa, 90 peratus penggodam yang dikenal pasti adalah rakyat tempatan dengan kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan penuntut universiti dalam negara. Katanya, kemungkinan kumpulan penggodam terbabit hanya dalam kumpulan yang kecil membabitkan lebih kurang 50 ahli, namun kemampuan mereka menggodam tidak boleh ditolak.
“Jika berasa bijak lolos kerana menggunakan IP luar negara atau menggunakan IP lompat, kami tidak berniat mencabar mereka tetapi ingin memberitahu, pihak berkuasa mempunyai masa dan ruang menjejaki mereka,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~