Cinta Izwan, Eve
Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
WALAUPUN berlainan negara, kumpulan Eve (dari Singapura) dan Izwan Pilus tetap menjalin kolaborasi.
KALI terakhir Izwan Pilus muncul bersama album penuh adalah Erti Kasih pada tahun 2006. Dia kemudian menjadi hit menerusi lagu Indah Lelapku dan Kembali Senyum.
Kehebatan figura berusia 32 tahun yang dicungkil daripada rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI) dan sinonim dengan bidang pengacaraan itu berjaya mencipta label tersendiri dalam lapangan seni apabila turut menceburkan diri dalam bidang lakonan dan persembahan pentas.
“Kali terakhir saya berlakon dalam drama bersiri adalah drama Awan Dania 2 dan pada bulan April lalu saya berkesempatan berlakon dalam sebuah pementasan teater KL Sempit bersama Raja Azri dan Datuk Jalaluddin Hassan,” ceritanya mengenai perkembangan semasa.
Namun, bidang seni suara masih menakluk sanubari jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu yang kini berjaya melebarkan sayap menjengah potensi negara jiran Singapura.
Hadiahnya, single pertama berjudul Tiba-Tiba Cinta dihasilkan bersama sebuah kumpulan baharu dikenali sebagai Eve.
Eve yang dianggotai oleh Asila Osmera, Yanie Hassan, Evie Roslan berusia sekitar 20-an meluahkan rasa teruja dapat berpadu suara dengan Izwan setelah beberapa kali bertembung dengannya ketika mengadakan persembahan di negara itu.
“Kami kenal dengan Wan (Izwan) sebab dia selalu datang buat persembahan di Singapura dan kebetulan pula dia sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan artis di bawah bumbung Media Corp,” ujar salah seorang ahli anggota kumpulan itu.
Tiba-Tiba Cinta
Bercerita mengenai kisah di sebalik single berjudul Tiba-Tiba Cinta, Izwan mengulas tajuk tersebut sinonim dengan mana-mana pasangan yang jatuh cinta pandang pertama.
“Lagu ini dicipta sejak empat tahun lepas cuma saya perlu mencari masa yang sesuai untuk dikeluarkan ke pasaran.
“Pada mulanya memang lagu ini khas untuk dinyanyikan secara solo, tapi setelah ada kerjasama dengan kumpulan Eve, timbul idea untuk mengolah lagu itu untuk dijadikan sebuah lagu duet,” bicaranya mengenai lagu yang disusun semula oleh AG Hujan itu.
Masih mengekalkan rentak retro dan disuntik sedikit mood catchy dan selamba, Izwan memberitahu liriknya pula keseluruhannya menceritakan kisah pertemuannya bersama kumpulan Eve yang telah ditubuhkan sejak tahun 2009.
“Ia seolah-olah cinta pandang pertama, tidak sensasi tapi pada masa yang sama kekal setia sebagai kawan baik,” katanya yang masih mempunyai 10 koleksi lagu ciptaannya sendiri.
Apabila ditebak dengan pertanyaan sejauh mana perancangannya dalam bidang mencipta lagu dan lirik, Izwan menjawab kebanyakan lagu yang dalam koleksinya adalah satu eksperimentasi untuk diri sendiri.
“Belum ada lagi rancangan untuk mencipta lagu untuk orang lain sebaliknya lebih suka mencuba untuk diri sendiri,” ujarnya yang berhasrat untuk menerbitkan album kompilasi lagu-lagu singlenya.
Bagi kumpulan Eve pula, kekangan jarak untuk menyanyikan lagu itu tanpa kehadiran Izwan tidak menjadi hal utama.
“Lagu ini boleh dinyanyikan secara solo tapi sebenarnya lebih sedap dinyanyikan secara berduet,” kata wakil jurucakap kumpulan itu, Alex Zulkifli Mohd. Salleh.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~