Dua raksasa kembali

Dua raksasa kembali

GABUNGAN dua nama besar industri muzik Blues Gang dan Sweet Charity bakal menggegarkan pentas Konsert 2 Raksasa.

KEMUNCULAN dua kumpulan yang layak digelar otai rock iaitu Sweet Charity dan Blues Gang sememangnya mencetuskan fenomena tersendiri dalam arena industri muzik tempatan.


Lebih menarik lagi, sehingga kini kedua-dua kumpulan tersebut masih lagi terus bertahan, biarpun kebanyakan kumpulan yang seangkatan dengan mereka sudah lama berkubur.


Tidak kira sama ada generasi dahulu dan sekarang, lagu-lagu seperti Kamelia dan Teratai (Sweet Charity) atau Apo Nak Dikato dan Khatulistiwa (Blues Gang) masih lagi menjadi siulan ramai.


Bagi mengembalikan semula era kegemilangan dua otai rock tersebut, satu konsert istimewa iaitu 2 Raksasa akan berlangsung pada 9 Julai ini di Stadium Merdeka.


Menariknya, konsert yang akan dianjurkan itu sebenarnya mengembalikan nostalgia tersendiri kerana ia merupakan ulangan kepada konsert dengan nama sama yang pernah diadakan pada tahun 1984.


Vokalis utama Blues Gang, Mohd. Arid Kedut atau lebih sinonim dengan nama Ito berkata, kumpulannya itu sangat teruja untuk menghiburkan para peminatnya di sebuah konsert yang besar.


"Sudah lama kami impikan untuk beraksi di pentas besar setelah kali terakhir melakukannya tiga tahun lagu. Kami yakin peminat Blues Gang tentu menantikan persembahan kami.


"Dapat bergabung dengan gergasi rock seperti Sweet Charity juga merupakan satu penghormatan yang cukup besar dan kami yakin melalui konsert ini akan mengubat kerinduan peminat kepada kami," ujarnya.


Kali terakhir mengadakan konsert yang besar kira-kira tiga tahun lalu, Ito menjelaskan bahawa mereka bertekad untuk membuat satu persembahan istimewa yang akan memberi kenangan tersendiri kepada mereka yang hadir.


Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu yang akan dipersembahkan nanti, mereka akan menyanyikan lagu-lagu kegemaran ramai yang setiap diberi nafas baharu.


"Pada konsert itu nanti, kami akan menyanyikan sekurang-kurangnya 10 buah lagu, termasuklah lagu wajib yang dinyanyikan pada setiap persembahan seperti Mak Siti, Apo Nak Dikato, Khatulistiwa dan Oh Mama, Saya Mahu Kahwin," jelasnya.


Selain Ito, Blues Gang turut dianggotai oleh Julian Mokhtar (gitar), Ghani Abu Talib (keyboard), Jim Madasamy (bass) dan Shaik Karim (drum) serta seorang anggota baharu iaitu Azizi Isnin (gitar).



SWEET CHARITY terdiri daripada Ramli Sarip, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar dan Rahman Sarbani.

Sementara itu, Ramli Sarip yang mewakili kumpulan Sweet Charity menyifatkan satu sejarah akan berulang apabila generasi muda hari ini akan dapat menyaksikan kembali era kegemilangan kedua-dua kumpulan berkenaan.


Menurutnya, dia yakin irama rock dan blues mempunyai peminat yang tersendiri dan masih ramai lagi pendengar yang suka mendengar lagu-lagu lama.


"Seperti biasa kami akan mempersembahkan lagu-lagu wajib seperti Teratai dan Kamelia kerana ia adalah permintaan daripada peminat sendiri.


"Malah, tiada sebarang gimik yang dilakukan, tetapi daripada 20 buah lagu yang akan kami persembahkan terdapat enam buah lagu yang jarang dinyanyikan dalam mana-mana persembahan sebelum ini," ujarnya.


Bagaimanapun, penyanyi yang pernah tampil secara solo itu tidak mahu mendedahkan judul lagu-lagu berkenaan dan peminat yang hadir pada konsert berkenaan sahaja akan menikmatinya.


Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1969 itu kini dianggotai oleh Ramli Sarip (vokalis), Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (keyboard) dan Rahman Sarbani (drum).


Tidak berpecah



BLUES GANG yang jarang dilihat tampil membuat persembahan sebenarnya masih belum berpecah keanggotaannya.

Biarpun Blues Gang dilihat jarang tampil membuat persembahan bersama kecuali dalam beberapa acara yang besar, namum Ito menjelaskan mereka sebenarnya tidak pernah berpecah.


Menurutnya, jika tidak mendapat sebarang undangan mereka lebih banyak membawa haluan masing-masing dengan bermain muzik terutama di kelab-kelab malam.


"Selama ini kami memang tidak pernah berpecah, malah sepanjang hampir 30 tahun ditubuhkan Blues Gang tidak pernah bertukar ahli seperti kebanyakan kumpulan yang lain.


"Bagi saya ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai kerana masih dapat bertahan dan masih lagi dikenali ramai sehingga ke hari ini," ujarnya.


Ditanya mengenai petua mereka terus bertahan, Ito memberitahu sebagai pemuzik apa yang paling diutamakan adalah kesabaran dan fokus kepada muzik yang dibawa.


Jelasnya lagi, walaupun semua ahli kumpulannya itu sudah boleh dikatakan sudah berusia, namun mereka bertekad untuk terus menghiburkan peminat selagi terdaya dan sihat.


"Saya rasa Blues Gang terus dikenali ramai sehingga kini kerana tidak banyak kumpulan yang membawakan muzik blues muncul dalam industri muzik di negara ini.


"Memandangkan kami semua ini sudah berusia, saya sangat teringin untuk melihat kemunculan lebih banyak lagi kumpulan muzik blues tempatan pada masa akan datang," jelasnya.


Jadii inspirasi




RAMLI SARIP dan Ito teruja bergabung.


Berbanding kumpulan Blues Gang yang terus dengan anggota asal, Sweet Charity pula sering kali bertukar anggota dan Ramli sendiri pernah meninggalkan kumpulannya buat seketika.


Namun, penyanyi yang turut sinonim dengan panggilan Papa Rock menjelaskan, kumpulannya itu masih lagi mampu bertahan sehingga kini adalah kerana kebanyakan lagu-lagu mereka yang malar segar di kalangan pendengar.


Jelasnya, biarpun sudah banyak genre muzik baharu yang muncul, namun muzik rock masih lagi mampu bertahan dan ia turut diminati oleh golongan muda generasi sekarang.


"Tidak dinafikan dalam kebanyakan persembahan yang Sweet Charity lakukan di banyak tempat sekarang ini, saya melihat golongan muda juga banyak menyaksikan persembahan kami.


"Apa yang lebih menarik, ada yang mampu untuk menghafal banyak lirik lagu-lagu kami, meskipun lagu tersebut terhasil dan dinyanyikan sebelum mereka lahir lagi," ujarnya.


Tambah Ramli, walaupun kini mereka terpaksa bersaing dengan lebih ramai kumpulan yang muncul, namun dia yakin kumpulannya itu masih lagi mempunyai ramai peminat dan akan terus berjuang dalam arena seni muzik tanah air.


"Memang terlalu banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui sepanjang lebih 40 tahun kumpulan ini ditubuhkan. Jadi kami berharap apa yang kami lalui selama ini sebagai penghibur mampu menjadi sumber inspirasi kepada kumpulan baru.


"Misalnya, kami ada merancang untuk menghasilkan sebuah dokumentari mengenai Sweet Charity. Menerusi dokumentari tersebut, orang ramai akan dapat melihat perjalanan kami sebagai anak seni dengan lebih mendalam lagi," ujarnya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~