Terengganu beri atlet Sukma insentif RM800,000
KERAJAAN negeri Terengganu akan memberikan insentif berupa wang tunai hampir RM800,000 kepada semua atlet Terengganu yang memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata, atlet yang memenangi pingat emas akan menerima ganjaran RM5,000 manakala perak dan gangsa masing-masing RM3,000 dan RM2,000.
Katanya, insentif tersebut adalah untuk semua atlet yang memenangi pingat tanpa mengira sama ada dalam acara individu atau berpasukan.
"Misalnya, sekiranya sesuatu pasukan itu meraih pingat emas, maka ganjaran RM5,000 akan diberikan kepada setiap anggota pasukan tersebut.
"Insya-Allah kita akan selesaikan bayaran secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pengurus pasukan dan jurulatih Sukma 2012 di Kuala Terengganu semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussin.
Pada temasya edisi ke-14 dari 2 hingga 12 Jun lalu, kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut dengan mengumpul 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.
Rozi berkata, pada edisi 2012, Terengganu meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan dengan mengumpul 58 pingat emas.
"Terengganu akan memberikan tumpuan kepada beberapa jenis sukan seperti lumba basikal, olahraga, bola sepak, sepak takraw, silat, taekwondo, menembak dan renang," katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~