Buru gol awal elak rasa tertekan - Khairul Fahmi
SKUAD Olimpik negara perlu memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa dan tidak tertekan ketika menentang Lebanon pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya segera bangkit mencari gol awal sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan ketiga.
"Kami sudah bersedia mengasak kubu lawan dan pertahankan gawang gol habis-habisan selepas seri tanpa jaringan dengan Lebanon di Beirut.
"Saya dan semua rakan sepasukan bertekad mahu memburu kejayaan menentang Lebanon di gelanggang sendiri nanti," katanya selepas tiba bersama skuad Olimpik negara dari Beirut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.
Khairul Fahmi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya berharap tidak akan menghampakan semua penyokong negara dan layak ke pusingan ketiga nanti merupakan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Saya berharap semua peminat bola sepak tempatan akan membanjiri Stadium Nasional bagi memberi semangat serta sokongan kepada skuad negara," jelas penjaga gol Kelantan ini.
Skuad Olimpik negara mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 pada Mac lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~