BUTTERWORTH: Akibat tertarik dengan segala kemewahan termasuk ditawarkan gaji RM12,000 sebulan dan menginap di hotel tujuh bintang ketika bertugas di luar kawasan, meyakinkan seorang pemuda bertugas bersama Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) kira-kira tiga tahun lalu.
Pada usianya ketika itu baru menjangkau 20 tahun, bekas pekerja Dina Group yang hanya mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia tidak dapat menolak tawaran menarik sedemikian.
Selain tawaran mewah itu, Wan turut mendakwa dia tertarik berkhidmat dengan Dina Group kerana yakin terhadap urus niaga dijalankan apabila melihat perwatakan alim ditunjukkan pengasas syarikat itu, Ustaz Harun atau Harun Mat Saad.
“Ketika itu, saya sedang menuntut di sebuah pusat pengajian kemahiran dan terpaksa mengambil keputusan berhenti belajar sebelum berkhidmat sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan syarikat berkenaan.
“Tugas saya waktu itu adalah mencari seberapa ramai pelabur untuk syarikat terbabit,” katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang, di sini.
Ustaz Harun, 45, sebelum ini dinamakan sebagai individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) bersama lima individu lain kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan skim cepat kaya dan pengambilan deposit secara haram membabitkan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit. Menurut Wan lagi, setiap pelabur ditawarkan pelaburan kadar paling minimum RM5,000 seorang dan pada waktu itu, dia mampu mendapatkan individu melabur sehingga RM150,000.
Katanya, dia berjaya menarik seramai 55 pelabur untuk membuat pelaburan di Dina Group itu sepanjang berkhidmat dengan syarikat berkenaan membabitkan kutipan wang menjangkau RM407,000.
“Saya cukup gembira ketika itu kerana pada usia cukup muda sudah mampu hidup mewah dengan gaji lumayan yang diberikan.
“Pelaburan ketika itu juga bertambah tanpa saya mengesyaki sebarang kegiatan tidak elok berlaku,” katanya.
Menurut Wan, dia juga pernah dibawa mengikut rombongan syarikat itu ke China dan Brunei kononnya untuk melawat perusahaan dijalankan di negara itu.
Katanya, dia dan beberapa pekerja lain juga diminta menyewa bilik hotel bertaraf tujuh bintang jika melakukan tugasan luar kawasan.
“Saya bersama lima orang rakan sekerja juga pernah membawa wang tunai RM15 juta yang dimasukkan ke dalam beberapa buah beg pakaian dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk diagih kepada pelabur.
“Perjalanan syarikat berkenaan lancar hinggalah pada awal 2010, saya secara tiba-tiba diberhentikan dengan alasan akaun bank Dina Group dibekukan dan tidak mampu untuk membayar gaji pekerja lagi.
“Sejak hari itu, hidup saya tertekan kerana menerima banyak panggilan dari pelabur yang bertanyakan duit pelaburan mereka,” katanya.
Menurut Wan yang berasal dari Kelantan, dia terpaksa melarikan diri dari negeri kelahirannya itu kerana sentiasa diburu dan menerima ugutan daripada pelabur selepas mengetahui penyelewengan dilakukan Uztaz Harun.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~