GUA MUSANG: “Menggigil seluruh tubuh saya melihat seorang daripada empat mangsa kemalangan terburai isi perut selepas dihempap lori yang terbalik.
“Sedih melihat keadaan mangsa yang mati dalam keadaan mengerikan,” kata Agoh Melan, 38, saksi kemalangan maut membabitkan lori sarat muatan baja yang terjunam ke dalam gaung sedalam 100 meter di Lojing, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, empat lelaki termasuk dua beradik Orang Asli berasal dari Perak, terbunuh di tempat kejadian ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Lojing untuk menghantar baja di sebuah syarikat tanaman sayur.
Mangsa terbunuh ialah, pemandu lori, S Balakrishnan, 39; kelindan, K Muniandy, 31 dan dua beradik Orang Asli, Bah Chiumebu Saleh, 30, dan Bah Jipi, 28.
Difahamkan, pemandu lori dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbabas ke dalam gaung.
Agoh berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat kepulan asap di kawasan kemalangan sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, saya lihat mayat bergelimpangan.
“Ada yang dihempap lori dan ada yang ‘tenggelam’ dalam timbunan baja,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~