Samseng diesel lari lintang-pukang

TAIPING: Lagaknya tidak ubah seperti samseng, namun seorang lelaki mendakwa dirinya digeruni ramai lari lintang-pukang sebaik sarang persembunyian menyorokkan diesel subsidi diserbu pihak berkuasa.



Suspek berusia 30-an itu sempat mengesan kedatangan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) yang menyelinap masuk ke dalam markasnya di dalam sebuah ladang kelapa sawit di sini, malam Jumaat lalu.


Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Taiping, Basaruddin Mohiyuddin berkata, kejayaan itu berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel di sekitar Simpang, di sini.






Menurutnya, dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai penguat kuasa PPDNKK cawangan Taiping bersama Pasukan Petugas Khas KPDNKK Putrajaya mengenal pasti dua lokasi kerap dipilih sindiketmencuri diesel subsidi.


“Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis tanpa nombor di Kampung Air Puteh Sambungan, di sini, yang didapati menjadi lokasi aktiviti menjual diesel subsidi.


“Risikan dilakukan selama seminggu oleh KPDNKK mendapati pemandu lori tangki minyak yang melalui Jalan Ipoh ke Butterworth, Pulau Pinang akan berhenti di premis itu untuk memindahkan diesel subsidi kepada pihak sindiket,” katanya.







Menurutnya, hasil serbuan itu, pihaknya menemui sebuah lori yang sedang melakukan tugas menyedut diesel daripada berpuluh tong dram yang sarat dengan minyak berkenaan.


“Hasil serbuan mengejut itu, pegawai KPDNKK berjaja memberkas seorang lelaki berusia 30-an yang disyaki dalang sindiket terbabit. Semua tong diesel dan lori berkenaan disita untuk tindakan lanjut,” katanya.





Menurutnya, susulan kejayaan pertama itu pihak KPDNKK kemudian menyerbu pula kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Kampung Setia, Simpang Taiping, di sini, yang disyaki menjadi tempat simpanan sementara diesel sebelum diedarkan kepada pihak ketiga.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~