ALOR GAJAH: Bagaikan aksi dalam filem apabila tujuh kereta peronda polis mengejar Proton Waja dipandu seorang lelaki yang melarikan diri dari pemeriksaan polis di Sungai Udang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan memecut keretanya apabila polis ingin memeriksa kenderaan dipandunya di satu sekatan jalan raya.
Polis mengejar kenderaan terbabit dengan bantuan enam kereta peronda dari daerah ini dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Selepas kira-kira 20 kilometer dikejar, kereta lelaki itu terbabas dalam longkang besar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di persimpangan lampu isyarat Kampung Hujan Panas, Masjid Tanah, dekat sini.
Jurucakap polis berkata, sepasukan polis yang sedang melakukan pemeriksaan rutin, mengesan sebuah Proton Waja berada dalam keadaan mencurigakan.
“Polis mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan tetapi sebaik dihampiri, lelaki itu memecut laju keretanya menuju ke Solok Duku-Tanjung Bidara.
“Berdasarkan pemerhatian awal, cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, ketika dikejar pemandu itu tidak mengendahkan arahan supaya berhenti sebaliknya memecut kereta untuk melarikan diri dengan mengelilingi kawasan sekitar Masjid Tanah.
Katanya, kereta itu akhirnya terbabas di Kampung Hujan Panas, Masjid Tanah, dekat sini, selepas terbabit kemalangan dengan sebuah van dan pemandunya ditahan untuk siasatan lanjut.
“Polis bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar pemandu kereta itu melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, pemandu van, Chu Guan Lee, 56, berkata, dia dalam perjalanan dari Masjid Tanah menuju Bandar Melaka.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~