KUALA LUMPUR: Tindakan sewajarnya sedang diambil bagi menghalang cubaan menggodam laman web rasmi kerajaan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Mengulas laporan satu kumpulan dari luar negara dikenali ‘Anonymous’ mahu menggodam laman web www.malaysia.gov.my, beliau berkata perkara itu tidak dijangka, tetapi ancaman serupa pernah dibuat sebelum ini.
“Kita telah memberitahu perkara ini kepada pihak-pihak berwajib, dan kita telah mengambil tindakan pencegahan yang perlu menerusi Mampu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta agensi bertanggungjawab mengenai keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di sini semalam.
Rais berkata, kerajaan juga sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku serangan.
‘Anonymous’ dilaporkan akan melancarkan serangan dinamakan ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi esok dengan alasan kononnya kerajaan mengenakan tapisan Internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.
Rais menjelaskan, Malaysia tidak mengenakan sekatan Internet, tetapi mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web mengandungi unsur jenayah.
“Saya rasa mereka tidak faham niat baik kita. Kita tidak ada sekatan, tetapi apabila berlaku jenayah siber, mekanisme itu (sekatan) akan digunakan,” katanya.
Beliau berkata, semua laman web berkenaan itu boleh merayu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar sekatan itu ditarik balik.
“Setakat ini, suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan,” katanya.
Dalam ucap utamanya sebelum itu, Rais berkata, blog memerlukan penulis yang adil dan bertanggungjawab yang sentiasa akur kepada garis panduan dan bersikap profesional.
“Terdapat ribuan penulis blog, tetapi berapa ramaikah daripada mereka dilatih dalam bidang kewartawanan,” katanya.
Mereka perlu diingatkan tentang apa yang mereka tulis dan cara mereka menyebarkan maklumat, kata Rais sambil menjelaskan bahawa penulis blog mempunyai peranan besar sebagai satu ‘suara baru’ dalam dunia tanpa sempadan sekarang.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~