Mayat dua sahabat ditemui berpelukan dalam sungai

KUANTAN: “Pagi tadi (semalam) saya menjenguk ke biliknya, tetapi dia tiada. Saya sangka dia ke masjid dan saya hanya tahu mengenai kemalangan menimpanya selepas dimaklumkan rakan saya,” kata Mustafa Awang, 51, bapa kepada bekas pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Amierul Hakim, 19, yang ditemui lemas di Sungai Lembing, pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mayat Amierul dan rakannya, Mohd Adhamerudin Omar, 21, dari Taman GPT, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah ditemui berpelukan dalam sungai oleh sepasukan anggota penyelamat yang menyertai operasi dan menyelamat kedua-dua mangsa.


Mohd Adhamerudin penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Indera Mahkota, di sini. Mayat kedua-dua mangsa ditemui jam 9.15 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.






Amierul sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala Mohd Adhamerudin pula penuntut semester empat jurusan Bioteknologi di UIA dan bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Ubi, di sini.


Mustafa berkata, dia sedang berniaga di Stadium Darul Makmur ketika mendapat tahu mengenai insiden itu melalui rakannya dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya itu.


Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, hatinya remuk dan tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat sepasukan anggota penyelamat sedang mengangkat mayat anaknya.







Katanya, jenazah Mohd Amierul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuin 2, di sini, selepas solat Asar, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakannya dilihat menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Sungai Lembing sebelum mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing.





Menurutnya, selepas selesai melakukan aktiviti itu, mangsa bersama rakannya mandi di sungai berkenaan manakala dua lagi rakannya, Mohd Ezuan Mohd Adnan, 22, dari Taman Rapat Setia, Ipoh dan Arif Kamal Nasir, 21, dari Indera Mahkota, di sini, menyediakan sarapan pagi.


Bagaimanapun, tiba-tiba seorang rakan mangsa mendakwa terdengar jeritan meminta tolong sebelum melihat tangan mangsa terkapai-kapai dan cuba membantu namun gagal berbuat demikian.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~