Wanita Vietnam cuba culik anak

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun diseret dari tingkat dua kediaman keluarganya di Taman Harmoni 2 di sini, oleh seorang wanita warga Vietnam dalam cubaan menculik, Ahad lalu.



Wanita dikenali sebagai Le Thi Hoi, berusia 20-an itu turut mengenakan baju kurung berwarna ungu serta tudung coklat ketika cuba melarikan kanak-kanak itu.


Lebih menyakitkan hati, Le sebelum itu meminta simpati untuk bermalam di rumah berkenaan selepas mengadu tiada tempat tinggal selain kesempitan wang.






Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Mia, berusia 30-an berkata, dia terkejut dan tidak menyangka Le sanggup bertindak demikian selepas dibantu termasuk diberi makan minum, pakaian selain kelengkapan mandian.


“Ayah yang bekerja sebagai pemandu teksi menemui Le dan membawanya pulang ke rumah selepas dia beria-ia meminta pertolongan.


“Sebelum itu, Le gagal menjelaskan wang tambang sebanyak RM50 selepas ayah menghantarnya dari Skudai ke Taman Ihsan Jaya, Ulu Tiram,” katanya ketika ditemui, semalam.







Menurut Mia, anaknya yang dikenali sebagai Mira bagaimanapun selamat dalam kejadian itu selepas menepis tangan Le sebaik tiba di pintu pagar.


“Mira menjerit dengan mengatakan tidak mahu mengikut Le jika saya tidak ikut bersama.





“Ketika itu, saya sedang mandi di tingkat atas dan suami berada di dapur manakala dua anak serta Le pula di ruang tamu.


“Mira sempat menyentap beg berisi komputer riba yang cuba dilarikan Le, bagaimanapun, wanita terbabit dapat melarikan kamera serta telefon bimbit,” katanya.


Mia berkata, sebelum kejadian, Le sering memuji kecantikan Mira malah kerap menghubungi rakan senegaranya sambil menangis.


“Saya bimbang kejadian seperti itu didalangi sindiket penculikan dianggotai warga asing, ini kerana, ketika kejadian, Mira memaklumkan sebuah kereta berwarna biru dinaiki tiga lelaki menunggu Le di luar.


“Le serta tiga lelaki terbabit kemudian melarikan diri dari sana,” katanya.


Bimbang berlaku perkara tidak diingini, Mia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Rini pada hari kejadian.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan masih berjalan.


“Kami masih memburu suspek bersama tiga lelaki terbabit dan pada masa sama berharap orang awam turut berhati-hati jika dihampiri wanita seperti yang digambarkan oleh mangsa,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~