KUALA LUMPUR: Cyber Security Malaysia mengumumkan pihaknya belum dapat menyatakan bilangan terkini laman web digodam memandangkan ada sebilangan laman web masih lagi menjadi sasaran penggodam sekali gus menjadikan jumlahnya berubah-ubah.
Pengerusinya, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, jumlah terbabit tidak dapat didedahkan atas sebabkeselamatan selain tumpuan diberikan kepada usaha membaik pulih laman web yang digodam di samping membantu mereka mengembalikan operasi laman web seperti biasa.
“Serangan laman web digodam masih lagi berterusan tetapi pada kadar berkurangan berbanding semalam (16 Jun) menyebabkan kita tidak dapat memberitahu jumlah sebenar.
“Kebanyakan laman web digodam kembali beroperasi. Hanya segelintir saja yang masih belum pulih dan dalam proses pembaikan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Bagaimanapun, Husin berkata, laman web kerajaan iaitu www.malaysia.gov.my yang turut menjadi mangsa penggodam, kembali pulih dan beroperasi seperti biasa tanpa ada sebarang kebocoran maklumat atau data yang hilang.
Menurutnya, maklumat mengenai penggodam sudah dikenal pasti polis dan butiran lanjut mengenai serangan berkenaan hanya dapat diperoleh apabila ia berhenti.
Katanya, pihaknya turut menjalankan penyiasatan serta ‘post-mortem’ bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pihak yang terbabit dalam masalah itu.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~