‘Saya sudah maafkan ayah’

HULU TERENGGANU: “Jika melihat keadaan anak, ibu mana yang tak marah, tapi sebagai manusia dan beragama Islam, saya memaafkan perbuatannya itu,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, ibu kepada Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, dan Muhammad Irfan Firdaus, 3, yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri tahun lalu.



Che Ku Zaimah berkata, walaupun kejadian itu genap 10 bulan hari ini dan dia serta dua anaknya makin sembuh, namun kesan daripada aspek emosi serta fizikal akibat kejadian itu masih dirasai.



“Setiap kali ke tempat awam, pasti ada yang akan bertanya mengenainya menyebabkan Nurul yang sebelum ini ceria bertukar menjadi pemalu untuk berhadapan dengan orang ramai kerana kecacatan wajahnya itu.






“Malah saya rasa kadangkala dia sudah jemu menjawab persoalan diajukan orang mengenai keadaan wajahnya.



“Begitupun saya tetap bersyukur kerana dia tidak mengalami apa-apa masalah di sekolah, malah bersemangat menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Kuala Berang di sini, semalam.



Menurutnya, pada 9 Januari lalu, Nurul menjalani pembedahan pertama di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan akan menjalani pembedahan sama sebanyak sembilan kali lagi bagi merawat kecacatan wajahnya.







“Wajahnya sudah dirawat namun doktor menasihatkan Nurul memakai topeng sekurang-kurangnya 23 jam sehari namun peraturan itu tidak dapat diikuti kerana dia tidak selesa selain rimas.



“Akibat tidak memakai topeng, ia mendatangkan sedikit kesan kurang memuaskan di wajah Nurul apabila parut di mukanya semakin membesar.





“Sudah puas saya menasihatinya, namun faktor seperti panas, gatal dan sukar bernafas membuatkan dia tidak tahan bertopeng,” katanya yang turut mempunyai kesan lecur di tangan dan bahagian belakang badan akibat terkena simbahan asid dalam kejadian itu.



Menurutnya, dia dan empat anaknya kini menjalani kehidupan baru selepas bekas suami, Mat Haizan Mat Yasin, 33, melepaskannya dengan talak satu, bulan lalu.



“Saya diceraikan suami di Mahkamah Syariah Marang, 27 Mei lalu dengan talak satu dan ia sedikit sebanyak memberi sinar baru kepada kami sekeluarga.



“Tetapi saya tetap runsing memikirkan tanggungjawab bagi membesarkan empat anak termasuk tiga masih bersekolah manakala yang bongsu berusia tiga tahun.



“Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan bulanan RM400 sebulan dan perbelanjaan selebihnya ditanggung sendiri hasil menjual sayur di Pasar Kuala Berang.



“Sebagai peniaga, pendapatan saya tidak menentu menyebabkan kadangkala saya terpaksa menagih simpati keluarga untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya yang berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan gerai makan.



Bercerita mengenai bekas suami, Che Ku Zaimah berkata, sebelum ini Mat Haizan menghantar surat meminta dia membawa anak-anak melawatnya di Penjara Marang dan bagi memenuhi hasrat itu, dua kali dia membawa empat anak mereka bertemu bekas suami.



“Sejak kebelakangan ini dia tidak lagi meminta saya berbuat demikian dan saya pula tidak terdetik hati untuk membawa anak-anak berjumpa dengannya tanpa sebarang permintaan daripada Mat Haizan.



“Walaupun hati saya sudah sejuk dan tidak lagi berang dengan tindakannya itu namun untuk pulang kembali ke pangkuan Mat Haizan adalah mustahil.



“Biarlah kami anak beranak menjalani kehidupan dengan aman, susah senang ditanggung sendiri dan apa yang penting sekarang adalah masa depan anak,” katanya. Nurul ketika ditemui berkata, dia tidak lagi menyimpan perasaan marah kepada bapanya itu.



“Saya tidak lagi marah dan sudah memaafkan perbuatan ayah,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~