KOTA BHARU: “Hanya sekali ni jelah saya ambil cucu kita pulang dari sekolah,” kata terakhir Hassan Awang Hamat, 76, kepada isterinya, Zainab Che Mud, 65, sebelum maut dalam kemalangan di Dewan Beta, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, perjalanan pulangnya bersama cucu bertukar tragedi apabila motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam parit di kawasan itu.
Insiden itu menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lundang Paku, dekat sini, sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Bagaimanapun, cucu mangsa, Nik Mohd Shazwan Nik Yusof, 11, yang membonceng motosikal berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dihantar pulang ke rumahnya terletak kira-kira 700 meter dari lokasi kemalangan.
Anak mangsa, Azri Hassan, 26, berkata dia sempat berbual dengan arwah ayahnya mengenai kemalangan terbabit ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Lundang Paku sejurus kejadian.
“Ketika itu keluarga kami didatangi penduduk kampung memaklumkan kemalangan menimpa ayah. Kami kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan ayah dan anak saudara kerana bimbang keselamatan mereka.
“Setiba ke lokasi berkenaan, saya lihat ayah sedang dibantu orang ramai. Dalam keadaan panik, ayah sempat memberitahu kemalangan itu sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Lundang Paku dan ke HUSM, Kubang Kerian, untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, kemalangan itu mengakibatkan keadaan ayahnya semakin tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir di wad Kecemasan HUSM, kira-kira jam 4 petang.
Katanya, dia bersama keluarga tidak menyangka kemalangan berkenaan mengorbankan ayahnya, selain menyifatkan apa yang berlaku sebagai suratan takdir.
“Jenazah ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kampung berkenaan, pada jam 9.30 pagi, semalam,” katanya.
Azri berkata, pada pagi sebelum kejadian, dia sudah berpesan kepada ayahnya itu supaya tidak keluar mengambil Nik Mohd Shazwan di sekolah, memandangkan warga emas berkenaan baru saja mengambil dua cucunya yang lain di tadika berhampiran pada jam 12 tengah hari.
Katanya, sehari sebelum kejadian, arwah ayahnya sempat menceritakan mengenai hal membabitkan anak-anaknya termasuk yang tinggal di luar Kelantan, sedangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan kepada ibu dan keluarga.
Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam/ Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Noor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~