Gegaran dirasai di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Gegaran akibat gempa bumi yang melanda Sumatera Barat, Indonesia turut dirasai di Lembah Klang kira-kira jam 8 pagi semalam manakala gegaran kedua menyusul sekitar jam 11 pagi.



Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail berkata, pihaknya banyak menerima panggilan kecemasan daripada pengurus bangunan di sekitar ibu negara mengenai gegaran terbabit.


“Panggilan pertama diterima Pasukan Bomba dan Penyelamat Pantai Dalam daripada Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jalan Pantai Baru jam 8.23 pagi.






“Selain itu, ia turut dirasai bangunan yang menempatkan hotel, bank dan pangsapuri termasuk Menara Lion, Jalan Sultan Ismail, Wisma Kencana dan Menara AmBank,” katanya ketika dihubungi.


Menurut Azizan, berikutan kejadian itu, penghuni bangunan yang berada di tingkat lapan dan ke atas paling terjejas selain peralatan dalam bangunan yang turut bergoyang.


Beliau berkata, turut merasai gegaran kecil itu Ibu Pejabat Bomba Kuala Lumpur di Jalan Maharajalela.







Katanya, empat jentera bomba dengan kekuatan 28 anggota daripada balai bomba sekitar Lembah Klang diarah untuk memeriksa bangunan di kawasan masing-masing.


Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kerosakan dilaporkan dan ia selamat untuk diduduki.





“Kebanyakan penghuni bangunan terbabit sudah dilatih melalui latihan kecemasan yang dijalankan pihak pengurusan mereka justeru tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.


Katanya, pihak bomba akan memantau perkembangan semasa melalui maklumat terkini Jabatan Meteorologi.


Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya berkata, gempa bumi sederhana iaitu pada 6.1 pada skala Richter berlaku di utara Sumatera, Indonesia iaitu kira-kira 307 kilometer ke tenggara Klang, Selangor.


Difahamkan, gegaran juga dirasai di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung terutama di Selangor, selatan Perak dan Melaka.


Bagaimana pun, tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kejadian itu.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~