Saingan ke Piala Dunia bermula
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
KEJUARAAN Polo Asia-Australasian-Afrika Kelayakan Zon D yang diadakan bagi merebut tempat ke Piala Dunia di Argentina, Oktober depan telah membuka tirainya di Kelab Polo Diraja Pahang, Pekan semalam.
Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sebagai tuan rumah, baginda setakat ini menerima respons yang baik mengenai penganjuran tersebut.
“Saya merasakan kita telah melakukan persediaan dengan baik untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa ini.
“Kita tidak pernah menjadi hos bagi kejohanan sebesar ini dan kini kita berharap untuk membida menjadi tuan rumah bagi Kejohanan FIP Polo Piala Dunia pada 2014 pula.
“Ini juga disebabkan kita diberi peluang untuk menganjurkannya,” katanya pada sidang media semalam.
Pada majlis gilang- gemilang itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan untuk merasmikan kejohanan tersebut.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah berharap penganjuran antarabangsa seperti ini mampu meningkatkan prestasi pasukan polo negara ke peringkat lebih tinggi di samping dapat mencungkil bakat muda.
Titah baginda, pelbagai perancangan telah dilaksanakan dan ia akan dilakukan secara berterusan bagi menampakkan hasil positif.
“Kita sentiasa cuba membangunkan sukan ini. Dalam usaha untuk beraksi dengan baik, kita perlu bermain di luar Malaysia.
“Jika pemain khususnya bakat muda hanya berlatih di sini, mereka hanya mampu untuk mencapai standard tempatan.
“Seharusnya mereka mesti memiliki bakat yang sama dengan pemain negara lain kerana mereka adalah profesional,” titah baginda.
Mengulas mengenai perlawanan Malaysia dengan New Zealand hari ini, Tengku Abdullah berharap pasukan kebangsaan dapat bermain dengan baik, sekali gus mencatat kemenangan.
“Esok (hari ini) adalah penentuan, pasukan kebangsaan diharap dapat bermain dengan penuh semangat dan menggunakan strategi yang baik.
“New Zealand merupakan pasukan yang kuat. Mereka memiliki ramai pemain berkaliber dan kuda yang baik, jadi kita bakal menghadapi tekanan serta tentangan sengit,” titah baginda.
Sementara itu, kapten pasukan polo kebangsaan, Shaik Reismann Mohamed Ismail menjangkakan saingan sengit daripada New Zealand.
“Ia akan menjadi satu perlawa- nan yang sukar buat kami tetapi kami akan cuba berusaha untuk memberi tentangan.
“Bagaimanapun, saya berharap semua pemain dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan ini,” katanya.
Pada perlawanan pembukaan semalam, Afrika Selatan mencatat kemenangan 13-5 ke atas Nigeria.
Turut beraksi pada pusingan kelayakan ini selain Malaysia adalah Afrika Selatan, Australia, New Zealand, India, Pakistan dan Nige- ria.

~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~