4 tahanan polis lolos

KUALA LUMPUR: Empat tahanan polis berusia antara 20 hingga 30 tahun melarikan diri ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, untuk permohonan reman dan proses pertuduhan, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, empat suspek yang dibawa dari Balai Polis Dang Wangi di sini diiringi dua anggota polis, melarikan diri ketika van membawa mereka berhenti di lampu isyarat berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta.


Difahamkan, semua suspek membuka gari sebelum meluru keluar dari kenderaan apabila van berkenaan berhenti.






Keempat-empat suspek yang dikatakan hanya berpakaian biasa ‘ghaib’ di delah orang ramai sebaik keluar dari kenderaan itu sebelum usaha mengesan mereka dilakukan pihak berkuasa.


Menurut sumber, tiga daripada suspek terbabit kes curi dalam bangunan manakala seorang lagi terbabit dalam jenayah jalanan.


“Dua suspek dibawa ke mahkamah untuk proses pertuduhan manakala dua lain dibawa bagi permohonan reman,” katanya.







Sumber berkata, biarpun ada usaha mengesan semua suspek dilakukan dua anggota terbabit sebaik mereka meloloskan diri, anggota terbabit mengalami kesukaran kerana kumpulan itu dilaporkan hanya berpakaian biasa.


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memberitahu usaha mengesan semua suspek sedang dijalankan.





Katanya, polis yakin semua suspek akan ditahan dalam masa terdekat.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~