SPRM buka kertas siasatan laporan Tengku Fakhry

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang mendakwa disabotaj oleh pihak tertentu selepas gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan milik ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, kelmarin.



Timbalan Pengarah Bahagian Operasi SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah, berkata pihaknya akan melakukan siasatan berkaitan apa yang dilaporkan oleh Tengku Muhammad Fakhry.


Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.






“Siasatan akan dijalankan seperti biasa mengikut laporan yang dibuat. Setakat ini kita belum mengambil keterangan daripada mana-mana pihak untuk membantu siasatan.


“Apapun, siasatan akan dijalankan mengikut prosedur biasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Semalam, akhbar melaporkan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa cuba disabotaj Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas gagal memperbaharui cukai jalan beberapa kenderaan milik ayahandanya, Tuanku Ismail Petra. Beliau mendakwa ada permohonan pembaharuan cukai jalan itu tidak dapat diperbaharui sejak setahun lalu.







Katanya, beliau mendakwa tidak tahu punca masalah itu, apatah lagi sudah menggunakan beberapa saluran termasuk berjumpa sendiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan serta Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kassim tetapi tetap gagal menyelesaikan masalah berkenaan.


Tengku Muhammad Fakhry turut mendakwa mungkin berlaku salah guna kuasa sehingga usaha untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan Tuanku Ismail sampai sekarang seolah-olah disabotaj atau dihalang.





Selain itu, beliau turut memberitahu surat daripada peguamnya turut dihantar ke JPJ namun tiada tindakan susulan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~