‘Ini dikira langgar perikemanusiaan’

PUTRAJAYA: “Ini satu kesalahan besar. Sesiapa saja yang membiarkan binatang peliharaan atau ternakan mereka mati akibat tidak diberi makan atau didera boleh dikenakan tindakan setimpal,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin.



Beliau berkata, tindakan pemilik premis itu dianggap melanggar perikemanusiaan kerana haiwan terbabit tidak dijaga dengan baik dan membiarkannya kelaparan sehingga haiwan terbabit mati.


“Ini dikira melanggar perikemanusiaan. Ini kerana mereka yang mengendalikan pusat seperti ini perlu mempunyai kod tata cara amalan yang sudah ditetapkan.






“Malah, saya dimaklumkan pemilik premis berkenaan juga tidak memperbaharui lesennya sejak 2009, sekali gus membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan kerana gagal memperbaharui lesen,” pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Beliau mengulas sebuah pusat penjagaan haiwan di Damansara Damai, Petaling Jaya ‘diserbu’ pemilik haiwan selepas mendapati haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ dibiarkan kelaparan sehingga ada yang mati.


Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, beberapa pemilik haiwan yang disertai 20 sukarelawan datang menuntut haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ sejak 27 Ogos lalu sempena cuti Aidilfitri.







Sebanyak 16 kucing mati kerana kelaparan manakala yang masih hidup kurus kering, selain beberapa lagi yang tinggal nyawa-nyawa ikan.


Dr Abd Aziz berkata, pihaknya memandang serius terhadap kes itu dan sudah mengarahkan pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan di premis seperti itu, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~