Gandingan mantap

Gandingan mantap

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menerima suntikan baharu bagi mengendalikan perjalanan sukan badminton tanah air apabila bakal menandatangani kontrak penajaan selama lima tahun bersama Maybank Berhad.


Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh berkata, Maybank yang merupakan salah sebuah institusi perbankan terbesar di Malaysia bakal menjadi penaja utama badan induk tersebut berkuat kuasa Ogos depan.


“Saya ingin mengumumkan bahawa Maybank bakal menjadi penaja utama BAM dan majlis menandatangani MOU (Memorandum Persefahaman) akan diadakan pada 5 Julai ini,” kata Nadzmi.


Nadzmi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di Bukit Kiara semalam.


Bagaimanapun, Nadzmi enggan mendedahkan nilai tajaan yang diterima badan induk badminton negara itu kerana mahu ia diumumkan sendiri oleh Maybank pada majlis menandatangani MOU nanti.


Ditanya mengenai status Proton Holdings Berhad yang sebelum ini merupakan penaja utama kepada BAM, Nadzmi menjawab: “Proton akan kekal sebagai penaja kepada BAM.


“Namun, tidak lagi sebagai penaja utama yang bakal digantikan dengan Maybank.


“Ini bermakna, loga Maybank akan berada di bahagian depan jersi pemain badminton negara setiap kali berlangsungnya kejohanan manakala logo Proton akan menjadi lebih kecil,” ujar Nadzmi.


Untuk rekod, Proton telah menjadi penaja utama BAM sejak tahun 1985 lagi.


Dalam perkembangan lain, Nadzmi turut mengesahkan bahawa barisan Exco BAM telah meluluskan cadangan Jawatankuasa Kejurulatih dan Latihan (C&T) untuk mengenakan hukuman penggantungan terhadap pemain perseorangan negara, Tan Chun Seang selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan di peringkat Asia ekoran keputusannya yang mahu meninggalkan BAM.


Selain isu mengenai Chun Seang turut dibincangkan ialah hasrat perseorangan wanita, Julia Wong yang juga mahu meninggalkan badan induk badminton negara itu.


“Selepas meneliti pelbagai aspek, kami bersetuju untuk melepaskan Julia tanpa sebarang hukuman ataupun tindakan,” tambah Nadzmi.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~