Stadium khusus untuk bola sepak di Kelantan

Stadium khusus untuk bola sepak di Kelantan

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


PEMINAT dan penyokong setia bola sepak Kelantan bakal menyaksikan pasukan mereka beraksi di stadium yang dibina khusus untuk perlawanan bola sepak sekiranya permohonan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan peruntukan bagi membina stadium baru itu diluluskan oleh kerajaan Pusat.


Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (gambar) memberitahu, segala perincian telah pun hampir siap dan kini pihaknya berada di fasa terakhir untuk mengkaji beberapa aspek lagi mengenai pembinaan sebuah stadium yang berkapasiti 30,000 penyokong.


Menurutnya, tanah seluas hampir 16 hektar sudah dikenal pasti oleh pihaknya di sekitar kawasan Tunjong kira-kira lima kilometer dari bandar Kota Bharu yang dianggap paling sesuai untuk dijadikan tapak stadium.


“Pada dasarnya kita mempunyai dua cadangan tapak iaitu satu di Kampung Gading Galoh, Machang dan satu lagi di Tunjong. Tapi kita kini sedang memfokuskan tapak di Tunjong kerana ia hampir dengan Kota Bharu.


“Stadium yang akan dibina nanti adalah khusus untuk perlawanan bola sepak sahaja di mana standardnya sesuai untuk perlawanan domestik dan antarabangsa selain dibina dengan berbumbung,” katanya ketika ditemui semalam.


Tambahnya, KAFA hanya memohon bantuan kewangan untuk pembinaan sahaja manakala pihaknya bersedia memikul tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan stadium tersebut kelak tanpa meminta bantuan pihak kerajaan.


Katanya, sebelum ini pihaknya bercadang untuk mengambil alih atau memajak Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSM IV) yang menjadi venue perlawanan melibatkan pasukan Kelantan sebelum ini namun, permohonan tersebut ditolak oleh kerajaan negeri.


“Memang SSM IV menjadi pilihan pertama kita kerana sebelum ini juga kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kos untuk menaik tarafnya hanya menelan belanja sekitar RM6 juta sahaja namun, ia tidak menjadi kenyataan.


“Kerja-kerja menaik taraf juga hanya memerlukan masa yang lebih singkat berbanding membina sebuah stadium baru. Bagaimanapun, selepas permohonan tersebut ditolak kita optimis untuk memohon bantuan kerajaan Pusat dan ia akan dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10),” ujarnya.


Dalam perkembangan yang sama, Annuar berkata, KAFA telah menghantar sepasukan pegawai yang terlibat untuk meneliti serta membuat pemerhatian terhadap beberapa buah stadium di Eropah termasuk Cardiff City, Stamford Bride dan Emirates sebagai rujukan dalam pembinaan stadium baru tersebut.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~