UiTM gagah

UiTM gagah

PASUKAN Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) tampil hebat apabila memenangi tiga daripada lima acara akhir kayak pada Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya semalam.


Emas pertama UiTM dihadiahkan pasangan Siti Shafikah Anuar dan Ann Mitchell dalam acara berpasangan 500 meter dengan catatan 2 minit 54.65 saat. Mereka meninggalkan pasangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang diketuai Nurul Hanisah Armand dan Nurul Amalina Rosdi Anuar yang melakukan catatan 3 minit 07.25 saat.


Tempat ketiga menjadi milik pasangan Universiti Malaya (UM), Siti Nur Syakirah M. Jazali dan Chow Siew Jye.


Bagi kategori lelaki individu 500m pula, emas menjadi milik atlet UiTM, Mohamad Halim Salleh yang menewaskan Mohd. Hanizam Ramli (UPSI). Dia menamatkan saingan dengan catatan masa 2 minit 14.07 saat.


Hari cemerlang UiTM diteruskan oleh gandingan Muhamad Faiz Jambri dan Aizuddin Ahmad yang menang emas acara 1000m berpasangan lelaki dengan catatan 5 minit 14.69s.


Penguasaan UiTM semalam dihalang oleh atlet UM, Norazliah Olleh yang menang emas dalam acara 500m wanita individu dengan catatan masa 3 minit 04.90s.


UPSI juga ceria dengan emas pertama mereka yang disumbang melalui acara 1000m berpasangan menerusi gandingan Norzalina Tajuddin dan Salwani Ismail.


Hari ini, sebelas lagi pingat emas menjadi rebutan dan sudah pasti atlet UiTM akan sekali lagi tampil sebagai pilihan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~