Roddick, Zvonareva tersingkir

Roddick, Zvonareva tersingkir

LONDON - Finalis tiga kali, Andy Roddick dan pemain pilihan kedua wanita, Vera Zvonareva tersingkir daripada Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.


Pilihan kelapan, Roddick yang menarik perhatian peminat Wimbledon selepas pertarungan sengit ketika tumpas kepada Roger Federer pada final 2009, gagal mempamerkan aksi sebenar apabila tewas 7-6 (7/2), 7-6 (7/2), 6-4 kepada pemain Sepanyol, Feliciano Lopez.


Roddick sebelum ini menang semua tujuh pertemuan dengan Lopez, namun pemain Sepanyol itu yang mara ke suku akhir dua kali di kejohanan ini, berjaya menghalang Roddick menemui rentaknya.


Lawan Lopez selepas ini ialah pemenang di antara pilihan kesembilan dari Perancis, Gael Monfils dan Lukasz Kubot dari Poland bagi perebutan tempat ke suku akhir.


Dengan kekalahan ini, Roddick, 28, kini gagal melangkah ke pusingan keempat buat kali ketiga dalam empat penampilan terakhirnya di Wimbledon.


"Dia bermain dengan baik. Saya pula ditewaskan. Servisnya sangat bagus seperti pemain lain," kata Roddick.


"Saya gagal membuat hantaran rendah dan memaksanya bermain dengan pukulan kilas, itulah sebabnya saya gagal menewaskan dia kali ini."


Sementara itu, pemain wanita No. 2 dunia, Zvonareva tewas mengejut 2-6, 3-6 kepada Tsvetana Pironkova dari Bulgaria, pemain yang sama menewaskannya pada separuh akhir tahun lepas.


Pironkova akan berdepan juara lima kali, Venus Williams, setahun selepas dia berjaya mengalahkan pemain pilihan ke-23 dari Amerika itu di suku akhir. - AFP

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~