Remaja minum diugut bunuh

AMPANG: Berang telefon bimbitnya hilang, seorang lelaki naik angin sebelum membelasah seorang remaja yang sedang minum di sebuah kedai makan di Taman Lembah Maju di sini, kononnya remaja itu mencuri telefon bimbitnya, Rabu lalu.



Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, remaja terbabit terkejut apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menyerang dan menampar mukanya menyebabkan mangsa kebingungan.


Menurut sumber, selepas menampar, lelaki terbabit mencekak kolar baju mangsa dan menyoalnya sama ada mencuri telefon bimbitnya atau tidak.






“Bagaimanapun, mangsa menafikannya dan memberitahu tidak tahu-menahu kehilangan telefon bimbit itu,” katanya.


Sumber berkata, lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan mangsa menyebabkan dia mengugut akan membunuhnya jika enggan menyerahkan telefon bimbit itu.


“Mangsa merayu supaya lelaki itu tidak mencederakannya, namun tidak dipedulikan.







“Malah, lelaki itu mahu mangsa menggantikan telefon bimbit baru jika mahu selamat,” katanya.


Katanya, mangsa yang ketakutan berjanji menggantikan semula telefon bimbit lelaki itu sebelum dilepaskan.





Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang selepas diugut bunuh.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~