5,000 meriahkan ulang tahun MBPJ

PETALING JAYA: Sambutan ulang tahun kelima Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meriah selepas program hari terbuka yang diadakan selama dua hari di Stadium Kelana Jaya, di sini, berakhir semalam dibanjiri kira-kira 5,000 penduduk.



Sebanyak 15 aktiviti diadakan bagi penduduk pelbagai peringkat umur antaranya pertandingan bola jaring, futsal dan mewarna selain konvoi kereta mini klasik.


Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata selain menyatupadukan penduduk di kawasan pentadbirannya, sambutan itu juga sebagai tanda penghargaan mereka.






Katanya, pihaknya sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk dalam menunaikan tanggungjawab sosial menerusi penyediaan bas komuniti percuma, van orang kelainan upaya (OKU) dan klinik MBPJ.


Menurutnya, selari dengan pembangunan bandar raya berkenaan, pihaknya menyasarkan pertumbuhan ekonomi Kerajaan Selangor sebanyak RM10 juta menjelang hujung tahun ini bersempena pembaharuan semula bandar itu.


“Cadangan pembangunan yang bakal dijalankan dalam masa terdekat ini membabitkan Seksyen 52, Seksyen 51, Seksyen 51A, Seksyen 13 dan Seksyen 8 di bawah pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Selangor,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Perbarisan Lintas Hormat dan Kawad Formasi Piala Datuk MBPJ.







Sementara itu, beliau turut merasmikan perkhidmatan terbaru pihaknya, ‘Mr EZ Pay’ iaitu perkhidmatan kaunter pembayaran mudah bergerak yang bakal memulakan operasi awal Julai ini.


“Perkhidmatan ini akan bergerak pada jam 9 pagi hingga 5 petang di kawasan tumpuan ramai setiap hari sekitar Petaling Jaya bagi memudahkan urusan pembayaran dan pembaharuan lesen dan 100 peratus pembayaran cukai akan dicapai tahun ini berbanding 85 peratus tahun lalu,” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~