Konglomerat terbesar

PUTRAJAYA: Aabar Investment, syarikat yang dikuasai sayap pelaburan kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corp akan menjadi antara konglomerat kewangan terbesar di Asia Tenggara berikutan pembelian pegangan saham 24.9 peratus dalam RHB Capital Berhad daripada Abu Dhabi Comercial Bank (ADCB).



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, menerusi penjualan itu, Aabar akan menyertai penggabungan sama ada antara Maybank-RHB atau CIMB-RHB dan membolehkannya memperoleh pegangan saham besar, sekali gus menjadikannya satu konglomerat kewangan terbesar di Asia Tenggara.


“Ini satu manifestasi keyakinan mereka membabitkan diri dalam projek bersifat jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan sempena lawatan rasmi sehari ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.






Terdahulu, Najib dan Sheikh Mohammed Zayed menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembelian saham RHB Capital Berhad sebanyak 24.9 peratus oleh ADCB kepada Aabar Investment.


ADCB diwakili Pengerusinya, Eissa Al Suwaidi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ala’a Eraiqat sementara Aabar Investment diwakili Pengerusinya, Khadem Al Qubaisi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Badawy Al Husseiny.


Najib berkata, kerajaan Malaysia sudah meluluskan permohonan Abu Dhabi melalui Mubadala Development Company (Mubadala) membangunkan kluster aluminium di Sarawak dengan nilai pelaburan RM12.7 bilion serta industri hiliran bernilai RM5.4 bilion.







“Projek berkenaan dijangka menjana 40,000 pekerjaan bersifat nilai tinggi serta tambahan sebanyak RM9.05 bilion dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan imbangan pelaburan sebanyak RM7.8 bilion.


“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan menyelaraskannya dengan kerajaan Sarawak berhubung pembelian tenaga elektrik dari negeri berkenaan.





“Mereka (Abu Dhabi) juga berminat untuk bekerjasama dengan Petronas membangunkan sebuah blok minyak iaitu SK 320 di Sarawak. Mereka berminat meneruskan kerjasama dengan Petronas,” katanya.


Beliau berkata, Abu Dhabi juga menandatangani perjanjian persefahaman dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) membabitkan pelaburan RM24 bilion oleh Mubadala.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~