MUMBAI: Bintang Bollywood dan bekas ratu cantik dunia, Aishwarya Rai sah mengandung anak pertama.
Berita gembira itu didedahkan bapa mentuanya dan juga bintang veteran, Amitabh Bachchan dalam laman twitter, kelmarin.
“Berita! Berita! Berita! Tak lama lagi saya bergelar datuk...Aishwarya mengandung...saya sangat gembira dan teruja!!,” katanya.
Aishwarya, 37, berkahwin dengan anak lelaki Amitabh yang juga pelakon, Abhishek, 35, pada April 2007.
Jik semuanya lancar, ini adalah anak pertama pasangan itu dan sekali gus menjawab spekulasi di kalangan penulis kolum gosip India mengenai perubahan berat badan aktres berkenaan.
Amitabh kemudian berkata dia terharu dengan maklum balas pengikut dalam laman Twitter miliknya dan menerima 2,843 ‘tweets’ ucapan tahniah dalam setengah jam.
Menulis dalam laman blognya bigb.bigadda.com, dia berkata: “Kegembiraan dan kebahagiaan berada di sekeliling kami,” ujarnya, namun tiada maklumat mengenai tarikh bayi berkenaan dijangka dilahirkan.
Keluarga Bachchan iaitu Amitabh, isterinya, Jaya, Aishwarya dan Abhishek adalah ‘keluarga Bollywood’ pertama dan mempunyai pengikut fanatik di India serta seluruh dunia.
Anak perempuannya, Shweta Nanda memiliki dua cahaya mata.
Amitabh berkata, dia berasa amat gembira dengan berita itu lebih-lebih lagi bayi berkenaan adalah anak pertama Abhishek yang bakal membawa nama ‘Bachchan’, yang pertama dalam generasi ini.
Keluarga berkenaan memboikot Anugerah Majalah Filmfare tahun lalu selepas sebuah akhbar tabloid di Mumbai menulis bahawa Aishwarya tidak boleh mengandung, menyebabkan notis undang-undang dihantar mendesak penarikan semula artikel berkenaan dan permohonan maaf secara terbuka.
Aishwarya yang dinobatkan sebagai ratu cantik dunia pada 1994 membuat kemunculan pertama dalam filem Bollywood pada akhir 1990-an dan sudah membintangi lebih 40 filem sejak itu.
Terbaru, dia membintangi filem hebat Selatan India `Endhiran' di samping bintang filem Tamil, Rajnikanth yang memecahkan rekod kutipan pawagam di India.
Dia juga muncul sebagai pencuri berlian dalam filem Hollywood `Pink Panther 2' yang turut dibintangi Steve Martin. Selain itu, dia membintangi filem bahasa Inggeris seperti `Bride And Prejudice' serta `The Last Legion' pada 2007.
Aishwarya menghadiri Festival Filem Cannes bagi mempromosikan filem terbarunya `Heroine' yang bakal menjalani penggambaran tahun ini.
Ketua Eksekutif UTV Motion Pictures, Ronnie Screwvala berkata Aishwarya kini memiliki aura seorang bintang.
“Dia adalah duta jenama untuk India dan mewakili filem India di French Riviera (Festival Filem Cannes),” katanya.
Dia juga memiliki kontrak peragaan lumayan termasuk dengan syarikat kosmetik terkemuka Perancis, L’Oreal.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~