Ugo tak sempat rai

BUKIT MERTAJAM: “Dia cukup gembira ketika menunjukkan komen cemerlang yang ditulis gurunya pada kertas peperiksaan ketika pulang sekolah Selasa lalu.



“Tapi kegembiraannya selepas mencatatkan keputusan baik dalam peperiksaan akhir tahun tidak berpanjangan apabila menemui ajal pada malam sama,” kata Sim Cheng Ang, 36, ibu kepada Ugo Teoh, 7, yang maut tercekik bebola daging.


Menurutnya, dia juga terkilan kerana anaknya itu tidak berpeluang menerima sendiri piala selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik bagi pertandingan menulis karangan Bahasa Cina.






Katanya, Ugo mencatatkan keputusan lapan terbaik bagi keseluruhan murid tahun satu sekolahnya dalam mata pelajaran itu.


“Saya terpaksa mewakilinya untuk menerima piala itu dari pihak sekolah hari ini (Jumaat) dan saya merancang akan letak bersama abu mayatnya sebagai kenangan,” katanya.


Dalam kejadian Selasa lalu, murid Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keow Kuang, itu disahkan maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Bukit Mertajam (HBM), kira-kira jam 9 malam.







Mangsa sebelum itu dikatakan bersama ibu bapanya dan seorang adik lelakinya, Udix, 4, keluar makan di sebuah restoran di Jalan Tembikai, di sini, kira-kira jam 7.30 malam.


Bagaimanapun, mangsa dikatakan tersedak selepas menelan bebola daging sebelum tercekik dan mengalami kesukaran untuk bernafas.





Ugo kemudiannya mengalami kancing gigi hingga menyebabkan mulutnya berdarah sebelum rebah.


Mangsa kemudian diberikan bantuan oleh orang ramai yang makan di restoran berkenaan sebelum dikejarkan ke sebuah klinik swasta.


Mangsa kemudian dirujuk ke HBM untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan.


Menurut Sim, dia yang memberi bebola daging kepada Ugo tetapi tidak sedar sewaktu kanak-kanak itu memakannya sebelum melihatnya tersedak.


“Mulanya saya tidak tahu dia tercekik apa, tetapi hanya dapat mengetahuinya selepas pihak hospital mengeluarkan bebola daging itu,” katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Peyi, 2.


Menurutnya, anak sulungnya itu tidak menghidap sebarang penyakit kronik tetapi sejak kecil kerap batuk.


Katanya, dia pernah diberitahu doktor yang pernah merawat anaknya sebelum ini, kerongkong Ugo agak kecil berbanding saiz normal.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~