Tong asid bocor

BUKIT MERTAJAM: Pekerja sebuah kilang membekal bahan kimia di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah di sini lari menyelamatkan diri selepas sebuah tangki menyimpan 14 tan asid hidroklorik mengalami kebocoran, petang kelmarin.



Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.49 petang. Anggota Unit Hazmat mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebocoran itu dan dapat mengalihkan baki cecair menjelang tengah malam.



Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim, berkata seramai 35 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Jalan Perak, Bandar Perda dan Perai terbabit dalam usaha menangani kebocoran itu.






Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana semua pekerja yang berada di dalam premis sempat keluar menyelamatkan diri sejurus berlaku kebocoran terbabit.



“Pemantauan awal kami mendapati berlaku sedikit tumpahan cecair itu di kilang berkenaan. Tindak balas cecair yang berkepekatan 33 peratus itu dengan udara dan air menyebabkan kepulan gas dalam bentuk asap terbentuk seterusnya terlepas ke ruang udara.



“Kami bimbang asap itu merebak sekali gus boleh mengundang situasi buruk kepada penduduk sekitar, bagaimanapun kita berjaya mengawalnya,” katanya.







Operasi berkenaan turut mendapat bantuan anggota polis dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah untuk memberikan bantuan kecemasan jika berlaku perkara tidak diingini.



Mohd Razam berkata, pihaknya terpaksa memindahkan cecair berkenaan ke dalam kira-kira sembilan tong kecil bagi mengelakkan lebih banyak gas terhasil daripada kebocoran itu.





Menurutnya, pihaknya masih tidak dapat memastikan sama ada kilang berkenaan menjadi tempat memproses bahan kimia terbabit atau hanya sekadar menjadi tempat simpanan.



“Saya menasihati orang ramai supaya segera berjumpa doktor jika mengalami simptom seperti pening, loya atau muntah-muntah kerana bahan ini boleh memudaratkan, termasuk jika terkena pada kulit badan,” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~