Sukan
LEE Chong Wei akan bertemu Chen Long (bawah) di Siri Super Premier Terbuka Denmark di Odense Sports Park hari ini. - Foto AP
DETIK yang ditunggu jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei bagi menebus kekalahan kepada Chen Long di Terbuka Jepun, bulan lalu akhirnya tiba apabila kedua-duanya akan bertembung pada perlawanan kemuncak Siri Super Premier Terbuka Denmark di Odense Sports Park, hari ini.
Chong Wei yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-29, kelmarin memastikan kemaraan ke final dalam semua 10 kejohanan antarabangsa yang disertai musim ini selepas menumbangkan jaguh tuan rumah yang juga juara tiga kali, Peter Gade 21-19, 23-21 dalam 47 minit.
Chen Long, bintang baru China selepas Lin Dan pula mara selepas bertarung 42 minit untuk menamatkan impian besar pemain Jepun, Sho Sasaki 21-16, 21-7 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.
Perhitungan antara pemain nombor satu dan tiga dunia itu diramalkan sengit, apalagi, selepas Chong Wei mengiktiraf Chen Long sebagai seteru barunya dan masing-masing memiliki alasan tersendiri untuk muncul pemenang kejohanan bernilai AS$400,000 (RM1.2 juta) itu.
Selain mahu membalas dendam kekalahan 8-21, 21-10, 19-21 kepada Chen Long di Jepun, Chong Wei sudah tentu mahu memenangi kejohanan ini selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2005 dan seandainya muncul juara ia akan menjadi koleksi kejuaraan ketujuh musim ini.
Chen Long pula sudah tentu mahu membuktikan kemenangan di Jepun bukan sekadar nasib selain mahu memasuki kelompok elit dunia dengan menjadi pemain ke-11 yang berjaya memenangi tiga kejuaraan Siri Super berturut-turut selepas muncul juara di Terbuka China dan Jepun.
Berdasarkan rekod, Chong Wei menang empat daripada enam pertemuan dengan bintang muda China itu.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~