NURSUHAILA...mahu cerai
KUALA LUMPUR: Hiba apabila impian untuk meraikan Aidilfitri sebagai ‘orang berkeluarga’ tidak kesampaian, pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley Salleh berkelana membawa diri menunaikan umrah di Makkah, sekali gus menyambut 1 Syawal bersendirian di Tanah Suci itu.
Jimmy, 31 yang yatim piatu menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas pernikahannya pada Oktober tahun lalu, bergolak selepas 20 hari apabila isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, meninggalkannya ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand.
“Sedih rasanya apabila hasrat untuk berhari raya bersama isteri dan anak tidak kesampaian. Ingatkan selepas berkahwin saya boleh menumpang keluarga isteri dan mentua, tapi itu semua tidak kesampaian. “Apapun, saya pasrah kerana sedar kita merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya dan pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini,” katanya melalui SMS kepada Harian Metro.
Mengimbas rentetan kontroversi rumah tangganya, selepas pergolakan Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat diikuti nusyuz terhadap Nursuhaila di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 3 dan 27 Januari lalu.
Perhubungan suami isteri itu tampak menerbitkan riak-riak positif apabila Nursuhaila selamat melahirkan cahaya mata mereka yang diberi nama Zahrah pada 24 Jun lalu dan Jimmy mengeluarkan kenyataan mahu menarik kembali tuntutan mahkamah yang difailkannya.
Bagaimanapun, kedamaian rupa-rupanya terus menjauhi mereka apabila Nursuhaila mengadakan sidang media pada 25 Julai lalu mendakwa Jimmy sering memukulnya termasuk pada malam sebelum majlis akad nikah dan ketika mereka berbulan madu di Koh Samui.
Malah, keadaan menjadi semakin ‘panas’ apabila Nursuhaila mendakwa suaminya turut berbohong kepada media memberitahu majlis cukup jambul anak mereka yang diaturkan bapanya, Datuk Suhaimy Othman pada 27 Julai lalu dibatalkan tanpa memaklumkan kepada keluarganya.
Berang dengan tindakan Jimmy, Nursuhaila memberitahu dia mahu meneruskan perceraian dan akan menuntut hak penjagaan anak mereka biarpun di pihak Jimmy, sebutan kes permohonan kembali taat dan nusyuz yang dibuat ke atas isterinya akan didengar pada 29 September depan.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~