‘Saya rasa terbakar’

KOTA BHARU: Seorang jurujual nekad berlari sejauh kira-kira 30 meter dalam keadaan kepanasan untuk mendapatkan rawatan selepas disimbah cecair dipercayai asid dalam kejadian di Taman Uda Murni, dekat Pengkalan Chepa, malam kelmarin.



Mangsa, Faizal Halim Rustam, 37, berkata, sebelum kejadian dia berada di hadapan sebuah kedai sambil membaca akhbar selepas membeli minuman kira-kira jam 8.30 malam.


“Secara tiba-tiba saya berasa seperti belakang badan, kepala serta muka terbakar selepas disimbah sejenis cecair oleh individu yang tidak saya kenali.






“Saya berlari ke sebuah klinik komuniti berhampiran yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian bagi mendapatkan rawatan awal. Sebaik tiba, kakitangan di klinik itu menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka,” katanya.


Menurut Faizal, dia dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana kecederaan serius di bahagian mata.


Ketika ditanya mengenai motif kejadian, Faizal berkata, kemungkinan ada individu dengki dengannya dan enggan mengulas lanjut serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.







“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan dan berharap suspek yang terbabit dengan kejadian ini dapat ditangkap segera,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.


Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, Faizal masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan mengalami kesan terbakar lebih 17 peratus.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~