KAMUNTING: “Sebelum masuk ke sini (pusat tahanan ISA), saya sangka tempat ini menakutkan. Malah, saya juga pernah mendengar khabar angin bahawa penghuninya didera dengan teruk termasuk dicabut kuku dan diberi makanan anjing.
“Namun, sebaik menjejakkan kaki di sini, perkara berkenaan tidak berlaku sebaliknya saya dan rakan lain dilayan dengan baik, malah program pengisiannya turut menginsafkan saya,” kata bekas pegawai wanita Jabatan Imigresen yang dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 di sini, semalam.
Wanita berusia 30-an itu adalah antara lapan bekas pegawai Jabatan Imigresen yang dibebaskan daripada hukuman ISA selepas terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia sebelum ditahan pada 10 dan 12 Oktober lalu.
Pembebasan mereka diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kelmarin, malah tiga daripada mereka termasuk bekas pegawai wanita berkenaan dibebaskan petang semalam, manakala lima yang lain akan dibebaskan pada Jumaat ini.
Dokumen pembebasan itu disampaikan sendiri oleh Pegawai Khas Bahagian Pemulihan Menteri Dalam Negeri, Datuk Pirdaus Ismail dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Dalam Negeri, Armizan Mohd Ali kira-kira jam 12.30 tengahari semalam.
Ketika ditemu bual wartawan di Bilik Gerakan, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, di sini, semalam, wanita berkenaan nyata terharu dengan pembebasan itu dan tidak putus-putus mengalirkan air mata.
“Alhamdulillah, pembebasan ini adalah adalah kerana keberkatan Ramadan. Saya betul-betul insaf dan sedar dengan kesalahan yang sudah saya lakukan,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~