SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu.
Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital.
Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.
“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja.
“Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.
Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih.
“Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~