Terkilan sikap ‘lepas tangan’

KOTA BHARU: Hanya dua harapan ditagih pasangan Mek Wook Kundor, 108, bersama suaminya, Mohd Noor Musa, 39, iaitu agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah kepada mereka memberi peluang kedua untuk menunaikan haji tahun ini atau mengembalikan wang berjumlah RM34,000.



Mohd Noor berkata, dia terkilan tindakan agensi terbabit yang bersikap ‘lepas tangan’ hingga mereka berdua terpaksa pulang ke Kampung Chat Rimau, Tanah Merah untuk menenangkan fikiran.


“Saya tidak menolak mungkin kenyataan saya di sebuah akhbar baru-baru ini mengenai hasrat kami untuk tinggal di Makkah selama empat bulan menjadi punca permohonan visa kami tidak dikeluarkan.






“Sedangkan saya menjawab atas dasar niat saja, tetapi tidak tahu pula menjadi kesalahan di pihak sana (agensi pelancongan) hingga hajat kami terhalang sama sekali.


“Akibatnya kami terpaksa pulang dengan hampa meskipun persediaan sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, lima bulan lalu dia dan isteri mendaftarkan diri untuk menunaikan umrah sebelum bertemu seorang ejen pelancongan dekat Pasir Tumbor, di sini.







“Kami tertarik untuk ke sana (Makkah) dan membayar kira-kira RM34,000. Semua wang itu hasil simpanan isteri (Mek Wook) sejak sekian lama, selain beribadat kepada Tuhan berikutan usianya semakin meningkat.


“Bagaimanapun, harapan untuk ke sana semakin kabur selepas insiden itu berlaku. Memang mereka tidak menipu kami, tetapi tindakan mereka menyebabkan kami dalam dilema,” katanya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~