Lantaran cinta, nafsu

KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu memenuhi tuntutan nafsu dan naluri semasanya selain dorongan teman lelaki yang kononnya sanggup berkongsi hidup sepanjang hayat, seorang lelaki nekad membuang alat kelaminnya di Thailand kira-kira 25 tahun lalu demi cinta terhadap kekasih songsangnya.



Namun, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Cinta Mohd Qairun Abidin, 47 (bukan nama sebenar) tersekat di tengah jalan dan kini dia mengalami kecelaruan jantina kerana tidak tahu apa akan berlaku kepadanya, terutama bagaimana dia dikebumikan jika dijemput ajal.


“Tiada kesudahannya. Selepas menanggung derita pembedahan demi kekasih, kita dikecewakan dan akhirnya hilang tujuan hidup yang boleh membuatkan kita hilang pedoman hingga cuba bertindak di luar batas agama kerana ingin bunuh diri.






“Tindakan melakukan pembedahan jantina biasanya berlaku akibat desakan naluri atau pihak ketiga kononnya kerana cinta, tetapi saya percaya dorongan pihak ketiga lebih kuat daripada naluri seseorang individu dan akhirnya individu itu akan menanggung derita sendirian,” katanya yang mengubah jantina melalui pembedahan.


Mohd Qairun atau dulunya dikenali sebagai Baby@Katie yang masih mempunyai nama lelaki pada kad pengenalannya mendakwa, pembedahan dilakukannya banyak mengubah cara hidupnya kerana membawa kebahagiaan, namun ia hanya bersifat sementara.


“Mungkin itu yang dikatakan kemewahan dan kesenangan dunia kerana saya akhirnya hanya memperoleh keseronokan sementara... betapa tidak, ketika itu saya menjadi pujaan ramai, malah memiliki teman lelaki yang berjanji sehidup semati.







“Namun bila kita sudah ‘berkedut’, semua janji tinggal janji dan akhirnya derita hidup ditanggung sendiri. Ketika itu segala sesalan tidak lagi berguna, kepada siapa kita hendak mengadu, kepada keluarga? Mereka juga dicerca masyarakat kerana tindakan saya. Akhirnya, kepada rakan ‘sealam’ juga saya kembali,” katanya.


Menceritakan keperitan hidup selepas menjadi ‘isteri’, Katie berkata, dia dan teman lelakinya tinggal sebumbung hampir 15 tahun dan sepanjang hidup bersama, kehidupan bersama seorang pengusaha restoran itu bahagia.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~