Sistem biometrik untuk pengundi

Sistem biometrik untuk pengundi

KANGAR - Kerajaan semalam bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya nanti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, secara prinsipnya kerajaan akan memberikan peruntukan itu tetapi apa yang penting sistem itu berfungsi dengan baik dan tidak menimbulkan banyak masalah apabila sampai masa untuk dilaksanakan.


"Saya hendak EC (SPR) pastikan integriti sistem itu dan juga fungsi sistem itu dapat memenuhi objektif yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini semalam. Beliau berharap, sistem itu dapat digunakan pada pilihan raya umum akan datang tetapi semuanya bergantung sama ada SPR mempunyai masa yang cukup untuk membangunkan sistem berkenaan.


Ditanya mengenai jumlah peruntukan yang akan diberikan kerajaan untuk membangunkan sistem itu, Najib berkata, terpulang kepada SPR untuk membincangkan perkara itu dengan Kementerian Kewangan. Terdahulu ketika mengumumkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, Perdana Menteri berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil."Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini," katanya.


Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~