Artis sensasi pukau penonton

JOHOR BAHRU: Kehadiran barisan artis sensasi tanah air malam kelmarin pada Konsert Gegaria menyemarakkan lagi Karnival Gegaria Harian Metro di pekarangan Padang A, Plaza Angsana di sini, berakhir semalam.



Seawal jam 8.30 malam, perkarangan Padang A dipenuhi ribuan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang memberikan sokongan padu kepada artis pujaan mereka.


Lebih menarik, keletah dua pengacara, Zizan Raja Lawak serta Ifa Raziah, mencuit hati pengunjung yang teruja menyaksikan persembahan pada malam itu.






Tidak kurang kemunculan barisan artis ternama seperti Alyah, Hattan, Adam Af2, Misha Omar, Ery Putra serta kumpulan Jinbara yang memberikan persembahan bertenaga sepanjang kira-kira tiga jam konsert berlangsung.


Malah, setiap artis yang mendendangkan antara tiga hingga empat lagu masih tidak cukup memuaskan hati pengunjung.


Betapa tidak, konsert yang dijadualkan berakhir jam 11.30 malam terpaksa dilanjutkan hingga jam 12.30 tengah malam berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.







Lebih gamat, persembahan bertenaga kumpulan Jinbara mendendangkan tiga lagu antaranya Farhana, Kasihnya Laila serta Cinta Pantai Merdeka pada penutup konsert memukau penonton dengan sebahagian besar mereka bangun sambil mendendangkan lagu sama.


Konsert Gegaria turut diserikan dengan kehadiran Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Ahmad @ Salim Bachok, Pengarang Eksekutif (Rencana), Johari Mohamad dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~