Malaysia teliti bantahan Chelsea

Malaysia teliti bantahan Chelsea

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my


MALAYSIA akan meneliti aduan yang dibuat oleh pengurusan kelab Chelsea semasa perlawanan persahabatan antara dua pasukan terbabit di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 21 Julai lalu.


Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pihaknya juga akan meneliti sama ada bantahan itu tercetus setelah dikaitkan dengan unsur perkauman seperti yang didakwa.


Menurutnya, beliau akan mengenal pasti sama ada pemain kelab Liga Perdana England itu, Yossi Benayoun diejek oleh penyokong tempatan atas dasar perkauman atau sebaliknya.


"Hari-hari ada orang kena boo (ejek), niat sebenar kita tak tahu. Kita akan tengok sama ada pemain kelahiran Israel ini (Benayoun) diejek kerana perkauman ataupun sebaliknya.


"Mungkin juga dia diejek oleh mereka (penyokong) yang tak puas hati kerana dia berpindah dari kelab Liverpool ke Chelsea.


"Sama juga dengan Fernando Torres dulu yang juga dari Liverpool ke Chelsea, dia juga kena boo," katanya kepada pemberita di Kampung Dadong, Air Putih dekat Kemaman semalam.


Ahmad Shabery mengulas surat aduan rasmi oleh Chelsea kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung gangguan berbentuk perkauman terhadap pemainnya, Benayoun pada aksi persa- habatan pilihan Malaysia di Kuala Lumpur minggu lalu.


Pemain itu diejek dan disiul oleh penyokong-penyokong tempatan sepanjang berada di padang pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasio- nal, Bukit Jalil.


Beliau menambah, kerajaan sememangnya memberi kebenaran khas kepada pemain tersebut untuk beraksi di sini minggu lalu.


Justeru, beliau berharap supaya tiada mana-mana pihak mengaitkan sukan dengan politik.


"Benayoun datang ke sini setelah kita beri kebenaran dan isu ini bukan pertama kali berlaku. Dulu, pasukan kriket (Israel) pernah datang Malaysia.


"Jadi, saya nak ingatkan di sini bahawa janganlah campuradukkan politik dengan sukan," jelasnya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~