FAM minta maaf bagi pihak penonton
Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifat- kan tindakan memohon maaf dilakukan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) kepada kelab Liga Perdana England, Chelsea dan pemainnya, Yossi Benayoun adalah bagi pihak penonton tempatan.
Ahmad Shabery berkata, kejadian yang berlaku tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan mahupun FAM kerana kedua-dua pihak telah memberi kebenaran untuk pasukan Chelsea beraksi di negara ini.
"Saya rasa FAM meminta maaf bagi pihak penonton. Ia bukan salah kera- jaan atau FAM kerana dua pihak ini telah memberi kebenaran.
"Perkara ini tidak perlu diteliti lagi, FAM sudah memohon maaf jika perasaan sesetengah pihak telah disentuh," katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Emping 2011 di Kampung Dadong, Air Putih dekat Kemaman semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan FAM yang memohon maaf secara terbuka kepada kelab Liga Perdana England, Chelsea dan pemainnya, Yossi Benayoun.
Ia berhubung insiden pemain sayap terbabit menjadi mangsa ejekan para peminat bola sepak tempatan semasa dia beraksi menentang skuad Pilihan Malaysia pada aksi pramusim di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 21 Julai lalu.
Dalam perkara berkaitan, Shabery menyatakan, kejadian yang berlaku seharusnya dijadikan pengajaran buat peminat bola sepak tempatan agar tidak mengulanginya.
"Ia harus dijadikan pengajaran kepada rakyat. Mereka mesti sporting dan tidak mencampurkannya dengan poli- tik.
"Kepada kelab Chelsea pula, saya berharap mereka dapat terima dengan baik permohonan maaf ini dan tidak serik untuk datang ke Malaysia," ujarnya.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~