Lepas tumpang kebas suami

BANTING: “Saya kutip dia (wanita Indonesia) dari jalanan dan ajak dia tinggal bersama saya, sudahnya suami saya pula dia rampas,” rintih seorang isteri yang kini hidup terumbang-ambing selepas ditinggalkan suami yang menjalin hubungan dengan wanita terbabit.



Isteri berusia 45 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ros itu berkata, hubungan suaminya dengan wanita Indonesia dikenali sebagai Yati, 30, itu benar apabila mereka ditahan pihak berkuasa agama, Mac lalu.


“Kira-kira jam 1.20 pagi Mac lalu, saya ternampak motosikal suami di tingkat bawah sebuah flat tidak jauh dari rumah saya. Yakin suami bersama wanita Indonesia itu, saya menghubungi pejabat agama berdekatan.






“Bersama dengan pegawai pejabat agama, kami menyerbu rumah Yati, namun mereka terlepas daripada tindakan kerana mengemukakan bukti sudah berkahwin, cuma Yati didapati tiada sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya. Mengulas lanjut mengenai Yati, Ros berkata wanita itu sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumahnya.


“Saya masih ingat, kira-kira jam 10 malam kira-kira dua tahun lalu, saya nampak seorang perempuan berjalan seorang diri di hadapan rumah saya sambil menangis.


“Selepas mendekatinya, Yati memberitahu dia dihalau isteri majikannya yang menuduh dia mahu mengurat suaminya. Kasihankan dia, saya ajak dia tinggal bersama.







“Sejak peristiwa itu, selama lebih setahun Yati menumpang di rumah saya iaitu sehingga Ogos tahun lalu,” kata Ros yang tidak mempunyai anak biarpun selepas 22 tahun berkahwin dengan suaminya yang dikenali sebagai Malek, 55.


Ros berkata, selama Yati tinggal bersamanya, dia sedikitpun tidak curiga terhadap Yati dan tidak menduga wanita itu menjalin hubungan dengan suaminya.

~ 0 comments: ~

~ Post a Comment ~