PETALING JAYA: Padah menzalimi tiga kucing dengan memukul menggunakan payung, menendang serta menyakiti haiwan malang itu Februari lalu, seorang wanita berusia 21 tahun didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Chow Xiao Wei dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. Nik Mohd Fadli juga memerintahkannya dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, Chow menjelaskan dendanya.
Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa secara zalim menyakiti dua kucing antara jam 4.25 petang hingga 5 petang pada 19 Februari lalu di depan sebuah gerai di Pasar Seri Kembangan di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Chow juga didakwa melakukan perbuatan tidak wajar menyebabkan kesakitan serta penderitaan seekor kucing pada masa, tarikh dan tempat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Jabatan Veterinar, Jamadi Badri, manakala Chow tidak diwakili peguam bela. Penganiayaan Chow terhadap tiga kucing itu sebelum ini tersebar luas di laman sosial, facebook dan blog selepas dimuat naik ke Internet hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Rakaman lima minit itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya pencinta haiwan sehingga mendorong mereka menggerakkan usaha ‘mencari seorang pembunuh kucing’.
~ 0 comments: ~
~ Post a Comment ~